Tingkat pemantauan cegah NCD

Tingkat pemantauan cegah NCD

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Bagi mempertingkatkan tindakan pemantauan dan pengawasan pencegahan dan kawalan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit (NCD) seperti kanser, Kementerian Kesihatan mengendalikan Bengkel Daftar Kanser Kebangsaan Kementerian Kesihatan bermula hari ini sehingga 28 Januari 2016 di Bangunan Pusat Promosi Kesihatan.

Daftar Kanser Kebangsaan atau Brunei Darussalam Cancer Registry (BDCR) telah ditubuhkan di Kementerian Kesihatan pada tahun 2002 dan tahun ini menandakan satu lagi detik penting dengan terbitnya laporan tentang penyakit kanser di negara ini dalam tempoh 10 tahun.

Menurut Ketua Unit Pengawalan dan Pengawasan NCD, Dr. Haji Muhd Syafiq Abdullah, bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada proses berterusan dengan kerjasama Pejabat Rantau Pasifik Barat (WPRO) bagi meningkatkan lagi keupayaan dalam pendaftaran kanser kebangsaan di negara ini, selain meningkatkan lagi proses pendaftaran, teknologi perisian dan kawalan kualiti Pendaftaran Kanser Kebangsaan.

Antara objektif bengkel tiga hari itu adalah bagi meningkatkan kesedaran dalam pemberitahuan kanser daripada jabatan-jabatan klinikal yang berkenaan serta meningkatkan pengetahuan mengenai klasifikasi tumor dan kanser morfologi pengekodan mengikut ICD- 10 & ICD –O.

Para peserta bengkel ketika memilih gambar bagi aktiviti ice-breaking.
Para peserta bengkel ketika memilih gambar bagi aktiviti ice-breaking.

Selain itu, ia dapat melaksanakan pendaftaran kanser menggunakan perisian CanReg5 yang telah disyorkan International Agency for Research on Cancer (IARC) dan belum terdapat di Negara Brunei Darussalam.

Menerusi bengkel itu juga akan dapat menambah kebolehan menganalisis data pangkalan dengan menggunakan perisian Epi Info semasa menjalankan analisis automatik daripada perisian CanReg5, dan seterusnya menyediakan pemberitahuan kanser berbentuk templat terkini dan dimasukkan ke dalam perisian CanReg5.

Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada doktor-doktor dan ahli-ahli profesional kesihatan yang terlibat dalam pengurusan pesakit kanser dan pemberitahuan penyakit, para pegawai rekod perubatan dan kakitangan yang terlibat dalam proses pengekodan serta pegawai dan kakitangan yang terlibat dalam proses pemberitahuan kanser di hospital-hospital dan klinik kerajaan serta swasta, menyertai bengkel itu.

Bengkel juga merupakan salah satu inisiatif Kementerian Kesihatan dalam langkah-langkah pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit, sekali gus dapat mencapai visi Kementerian Kesihatan, iaitu Bersama Ke Arah Warga Sihat 2035.

ARTIKEL YANG SAMA