Tingkat pembelajaran di luar bilik kuliah

Tingkat pembelajaran di luar bilik kuliah

Oleh Syahnizam

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Okt – Sekumpulan mahasiswa-mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (UBD), yang mengambil Modul Kesusasteraan Melayu AS2202 Kaedah Penyelidikan Sastera, telah mengadakan lawatan akademik sambil belajar ke Pusat Pengkajian Borneo (PenBorneo) dan sebuah perkuburan lama, hari ini.

Rombongan seramai 20 mahasiswa dan mahasiswi berkenaan telah diketuai oleh Pensyarah Kesusasteraan Melayu, Dr. Maslin bin Haji Jukin/Jukim.

Lawatan ke Pusat Pengkajian Borneo bertujuan untuk merapatkan hubungan mahasiswa-mahasiswi UBD dan dapat menggunakan data dan sumber yang terdapat di pusat berkenaan sebaiknya.

Semasa lawatan itu, mereka turut berpeluang mendengar taklimat mengenai dan kepentingan PenBorneo sebagai sumber penyelidikan mahasiswa mahasiswi yang disampaikan oleh salah seorang pegawai di pusat berkenaan, Dayang Mardiah binti Haji Ramli.

Di samping itu, beberapa orang pegawai pusat itu turut memberikan penerangan cara-cara untuk memperoleh data tentang buku-buku yang terdapat di bilik perpustakaan, ilmu filologi manuskrip lama, penggunaan mikrofilem dan lain-lain lagi.

Dr.Maslin, Haji Su’ut dan Haji Puasa ketika memberikan penerangan mengenai cerita pertuturan yang terdapat di tanah perkuburan lama Kampung Manggis.
Dr.Maslin, Haji Su’ut dan Haji Puasa ketika memberikan penerangan mengenai cerita pertuturan yang terdapat di tanah perkuburan lama Kampung Manggis.

Manakala itu, lawatan ke perkuburan lama di Kampung Manggis pula bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswa-mahasiswi tersebut dalam menjalankan penyelidikan lapangan dan mendapatkan data primer daripada informan.

Informan yang turut bekerjasama dalam menjayakan lawatan penyelidikan ini ialah Haji Puasa bin Haji Ali dan turut ditemani oleh Haji Su’ut bin Ahmad iaitu pegawai bersara Pusat Sejarah.

Kubur yang dilawati merupakan perkuburan lama tentang dua orang adik-beradik yang pernah menjadi pertuturan turun temurun masyarakat Brunei dan dipercayai cerita lisan tersebut telah berlaku 200 hingga 300 tahun yang lalu.

Secara keseluruhan, lawatan akademik ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan tambahan di luar kelas kuliah dan menggalakkan mahasiswa-mahasiswi melibatkan diri mereka dengan aktiviti penyelidikan secara lapangan seterusnya mengaplikasikan pengetahuan-pengetahuan yang dipelajari dalam kuliah melalui kajian lapangan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA