Tingkat pengetahuan animasi 3D

Tingkat pengetahuan animasi 3D

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mac – Seramai 12 orang kakitangan Bahagian Penerbitan Promo dan Seksyen Perdagangan di Radio Televisyen Brunei (RTB) kini sedang mengikuti bengkel animasi dalam penggunaan perisian maya yang berlangsung selama lima hari bermula 21 Mac lalu.

Bengkel Animasi 3D yang berlangsung di Kompleks Penyiaran RTB, Sungai Akar itu adalah yang julung kalinya diadakan dengan tujuan untuk melatih peserta membuat video animasi TV pra-penerbitan, semasa penerbitan dan selepas penerbitan dengan cara teratur.

Selain itu, bengkel juga memberi peluang kepada peserta untuk membuat video animasi berdurasi 30 minit.

Di samping berperanan sebagai menambah pengetahuan, bengkel ini juga merupakan platform bagi para peserta memajukan dan mengembangkan kemahiran mereka dalam penerbitan animasi 3D.

Temu bual media dengan peserta bengkel, Penerbit Promo & Juruanimasi, Haji Alidin bin Haji Momin, hari ini, berkata, “Bengkel animasi selama lima hari ini memberi faedah dan kesan yang baik kepada kami untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai penggunaan perisian maya”.

Antara peserta yang mengikuti bengkel 3D di Kompleks Penyiaran RTB.
Antara peserta yang mengikuti bengkel 3D di Kompleks Penyiaran RTB.
Haji Alidin semasa temu bual bersama media.
Haji Alidin semasa temu bual bersama media.

Dengan adanya kursus berkenaan, ujar beliau lagi, ia dapat menambah ilmu pengetahuan dalam bidang animasi di mana pengguna perisian ini belum pernah digunakan dalam tugasan harian dan dengan kursus ini ia memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari lagi bidang animasi dengan lebih baik.

Di samping itu, kursus ini memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam animasi dan dapat menghasilkan lebih banyak grafik, animasi dan watak dengan menggunakan perisian maya.

Beliau seterusnya menyatakan harapan supaya lebih banyak lagi kursus seumpama ini diadakan yang mana ini merupakan langkah awal pengenalan terhadap perisian maya.

Sementara itu, Penyelaras MOU-NBT, Surasak Hunsachaleekon pula menjelaskan, bengkel yang dijalankan adalah untuk memberi pengetahuan asas dan pengalaman dalam animasi 3D kepada peserta terutamanya kakitangan bahagian penerbitan RTB.

Menurutnya lagi, kebanyakan peserta bengkel ini mempunyai latar belakang asas mengenai animasi 2D dan sebahagian mereka juga mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam animasi 3D tapi dengan menggunakan perisian yang berbeza.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh dua orang pakar animasi 3D bagi penerbitan TV dari Thailand iaitu Thaveewat Vanichpinyo dan Pattawat Pongpanich.

Dalam era pembangunan Teknologi Media Baru, aplikasi animasi 3D mampu memudahkan produktiviti pengeluaran TV tempatan yang berkualiti dalam jangka panjang.

Dalam hal ini, RTB membuat inisiatif untuk mempertingkatkan kemahiran kakitangan yang inovatif dan kreatif khusus dalam bidang penerbitan promo dan New Media.

Bengkel ini merupakan kerjasama RTB dengan National Broadcasting Services Thailand (NBT) di bawah memorandum persefahaman (MoU) di antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kerajaan Thailand dalam bidang penyiaran dan penerangan.

ARTIKEL YANG SAMA