Tingkat pengetahuan cegah kebakaran

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Begawan, hari ini, telah mengadakan Program Marsyal Bomba: Pemeriksaan Latihan Kebakaran Dalam Bangunan yang berlangsung di Bangunan Pentadbiran KUPU SB.

Seramai 41 orang yang terdiri daripada 36 orang Kadet Bomba dan Penyelamat KUPU SB, tiga orang kakitangan hal ehwal pelajar dan dua orang pelajar dari EXCO Kolej Kediaman menyertai program berkenaan.

Penyelaras Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat KUPUSB, Dayangku Zainab binti Pengiran Haji Tuah semasa ditemui pihak Media Permata menjelaskan, program berkenaan telah dijalankan selama tiga hari bermula 9 Januari yang lalu dan hari ini para peserta menyertai praktikal Marsyal Bomba di kawasan KUPU SB sendiri yang telah dipilih untuk menjadi sasaran.

Program berkenaan, jelasnya lagi, bertujuan untuk mendalami lagi mengenai dengan Kursus Marsyal Bomba kerana ia amat berguna dalam memastikan keselamatan masing-masing dan masyarakat sekeliling apabila berlakunya kebakaran atau perkara yang tidak diingini berlaku.

Antara peserta kursus yang menyertai Program Marsyal Bomba: Pemeriksaan Latihan Kebakaran Dalam Bangunan ketika melakukan latihan pemeriksaan kebakaran.
Dayangku Zainab ketika bergambar ramai bersama peserta kursus.
Dayangku Zainab ketika ditemu bual semasa latihan tersebut.

“Ia adalah sangat penting bagi kita sebagai sebuah masyarakat untuk mengetahui teknik-teknik dan cara-cara penyelamatan apabila berlakunya kebakaran ataupun semasa kecemasan-kecemasan,” tambahnya.

Sepanjang program itu, para peserta telah mendapatkan ilmu-ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk kegunaan masing-masing yang dapat turut dikongsikan bersama orang lain khususnya di kolej-kolej ataupun di institusi-institusi.

Di samping itu, program itu juga bertujuan untuk mengenal pasti kelemahan-kelemahan alat penggera yang terdapat di institusi-institusi yang perlu dikaji semula dari semasa ke semasa dan agar dapat dipantau keberkesanan alat-alat penggera dan alat-alat pemadam api tersebut dalam keadaan yang baik dan dapat digunakan.

Beliau berharap agar program seumpamanya akan dapat dan perlu diadakan oleh masyarakat di negara ini dan juga institusi pengajian yang ada serta mana-mana individu untuk mengetahui dan memahami mengenai dengan bidang marsyal bomba.