Tingkat pengetahuan, manfaatkan ilmu

Tingkat pengetahuan, manfaatkan ilmu

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Para pelajar perlu memanfaatkan ilmu yang diraih dan sentiasa mencari ilmu di mana sahaja berada kerana mereka merupakan bakal penyebar dakwah Islamiah di negara ini.

Pemangku Pengetua Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah (SMALHB), Hajah Norjainah binti Haji Buntar berkata dengan ilmu yang diraih, pelajar dapat menangkis segala dakyah dan propaganda anti Islam yang sentiasa mencari kesempatan menyusup masuk ke dalam ajaran Islam.

“Dakyah dan propaganda anti Islam berupaya menyesatkan umat Islam masa kini dan akan datang, apatah lagi dengan wujudnya pelbagai kemudahan teknologi maklumat yang canggih masa kini seperti WhatsApp, Facebook, Twitter dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil bagi para pelajar yang lulus dalam Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) dan Peperiksaan BC GCE ‘A’ Level Sesi 2013-2014 ke-21, yang berlangsung di Dewan Kelab Rekreasi Royal Brunei (RBRC), hari ini.

Hadir menyempurnakan penyampaian sijil ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abd Salam.

Haji Mohd ‘Abdoh semasa menyempurnakan penyampaian sijil.
Haji Mohd ‘Abdoh semasa menyempurnakan penyampaian sijil.
Antara para pelajar yang menerima sijil pagi tadi.
Antara para pelajar yang menerima sijil pagi tadi.

p14-3_20150520

Seramai 152 pelajar lulus dalam STPUB dengan 43 di antara mereka mendapat pangkat Mumtaz, 58 pelajar mendapat Jayyid Jidan, 43 pelajar memperoleh Jayyid dan lapan pelajar meraih pangkat Maqbul manakala seramai 29 pelajar lulus dalam peperiksaan BC GCE ‘A’ Level.

Hajah Norjainah, dalam ucapannya menjelaskan bahawa, majlis tersebut merupakan sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh para pelajar dan ibu bapa kerana dapat menjelaskan kegigihan dan ketekunan serta usaha pelajar, selain ibu bapa dapat melihat bagaimana dorongan dan motivasi yang diberikan kepada anak-anak mereka mencapai matlamat manakala tenaga pengajar pula dapat menyukat keberkesanan pengajaran kepada anak didik mereka.

Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian anugerah Penghargaan Khas kepada Awang Mohammad Wafiy bin Awang Mohammad, Awang Mohammad Bahauddin bin Haji Abu Bakar serta Awang Ahmad Ahyad bin Haji Amynoor.

Sementara itu Awang Muhammad Hafizurrahman bin Awang Haji Majid dan Dayangku Nur Fakhrina @ Dk Nor’Ain binti Pengiran Omar masing-masing menerima anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan STPUB dan A Level.

Anugerah Pelajar Terbaik Kegiatan Tahun 2013/2014 pula diterima oleh Haji Muhammad Bilal Che’ Mat bin Haji Abu Samah Shukri, manakala itu, Dayang Nurhuwaina binti Mahmud dan Dayangku Nur Fakhrina @ Dk Nor’Ain binti Pengiran Omar masing-masing menerima anugerah Pelajar Terbaik Akademik STPUB dan A Level bagi tahun 2013/2014 dan anugerah Pelajar Mithali diberikan kepada Dayangku Siti Asiah binti Pengiran Alim.

Awang Muhammad Hafizurrahman semasa ditemui meluahkan rasa bersyukur dan terima kasih setelah berjaya mendapat anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan STPUB.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada guru-guru dan juga ibu bapa yang tidak putus asa mendorong saya mencapai kejayaan. Insya Allah saya nanti akan meneruskan pengajian di Mesir atau Jordan.”

Dayangku Nur Fakhrina pula menyatakan harapan agar dapat meneruskan pelajaran di Mesir melalui biasiswa dalam bidang perubatan.

Majlis tersebut bertujuan memberigakan dan memartabatkan pendidikan agama Islam dan Arab kepada masyarakat Negara Brunei Darussalam di samping memberikan ganjaran dan mengenang jasa pelajar kerana berjaya dalam bidang akademik dan mengharumkan nama sekolah dalam bidang ko-kurikulum sama ada dalam sekolah mahupun peringkat negara dan antarabangsa.