Tingkat pengetahuan masyarakat tentang perkembangan terkini

Tingkat pengetahuan masyarakat tentang perkembangan terkini

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 23 Ogos – Dalam usaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan memberigakan perkembangan terkini mengenai usaha-usaha kerajaan ke arah mempertingkatkan taraf hidup dan menyuntik semangat diri serta memberikan inspirasi kepada masyarakat melalui aktiviti keusahawanan, Jabatan Penerangan telah menganjurkan Program Masyarakat Bermaklumat di Dewan Serba Guna Kampung Sungai Mau Labi, di sini, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar.

Turut hadir ialah Ketua Cawangan Penerangan Daerah Belait merangkap Timbalan Pengerusi majlis, Awang Mohammad Hisyam bin Haji Idris serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan dan lainnya.

Kira-kira 30 orang menyertai program tersebut, dan antara taklimat yang dimuatkan dalam program berkenaan termasuklah taklimat keusahawanan daripada Unit Ease of Doing Business, Darussalam Enterprise (DARE), taklimat keusahawanan ternakan dan tanaman dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta taklimat mengenai isu halal haram daripada Bahagian Kawalan Makanan Halal.

Awang Mohammad Hisyam dalam ucapannya berkata, program itu juga bertujuan untuk mengukuhkan jati diri dan memberikan keyakinan yang tinggi dalam menangani cabaran-cabaran, gejala dan pengaruh kehidupan yang boleh mengganggu keharmonian, kesejahteraan dan kestabilan kehidupan di negara ini melalui ajaran agama Islam sebagai amalan cara hidup yang lengkap di negara ini.

Antara yang menyertai Program Masyarakat Bermaklumat di Dewan Serba guna Kampung Sungai Mau Labi, kelmarin.
Antara yang menyertai Program Masyarakat Bermaklumat di Dewan Serba guna Kampung Sungai Mau Labi, kelmarin.

Program Masyarakat Bermaklumat, katanya, merupakan salah satu landasan Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan supaya semua anggota masyarakat memahami, menyokong dan menghayatinya secara berkesan melalui penyampaian taklimat, sesi dialog dan lawatan yang telah diaturkan.

Program yang sama akan diadakan secara berterusan di seluruh negara melalui institusi mukim dan kampung dengan berpandukan tajuk-tajuk yang dipersetujui bersama.

“Program diadakan selama dua hari ini, dihasratkan akan dapat membekalkan maklumat dan ilmu pengetahuan kepada pesertanya yang terdiri daripada penduduk Kampung Bukit Sawat Labi, melalui ceramah-ceramah yang disampaikan oleh para penceramah daripada pelbagai agensi dan juga tambahan taklimat daripada pihak Bahagian Kawalan Makanan Halal.

“Selain mendengarkan taklimat, para peserta juga berpeluang menyertai sesi lawatan ke dua buah tempat iaitu di Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja dan juga Muzium Teknologi Brunei,” katanya.

Lawatan itu juga dihasratkan untuk meningkatkan semangat dan menggalakkan lagi penglibatan peserta untuk menceburkan diri serta menjana usaha dalam bidang keusahawanan, di samping membolehkan mereka untuk sama-sama bertukar-tukar pandangan dan pengetahuan secara terbuka serta percambahan idea ke arah memajukan kampung masing-masing, sekali gus dapat memperbaiki ekosistem perniagaan semasa di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA