Tingkat pengetahuan mengenai CIPTA 2017

Tingkat pengetahuan mengenai CIPTA 2017

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Orang ramai dan penduduk kampung di Daerah Temburong, semalam, berpeluang mendengarkan taklimat dan forum mengenai pertandingan CIPTA Pengiran Muda Mahkota semasa Jerayawara Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota 2017 yang diadakan di Dewan Serba Guna Kompleks Utama Bumiputera, Bangar, Temburong.

Hadir sama semasa jerayawara berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta para pelajar Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar.

Pada jerayawara itu, taklimat disampaikan oleh ahli Jawatankuasa Teknikal CIPTA 2017, Haji Sharul Tazrajiman bin Haji Tajuddin yang antara lain menjelaskan mengenai kategori pertandingan, peraturan, proses penghakiman serta hal yang berkaitan dengan anugerah berkenaan.

Anugerah pertandingan ini antara lain bertujuan untuk memberi inspirasi kepada belia dan orang awam terhadap kreativiti produk selain proses dan teknologi untuk aspirasi bangsa dan ASEAN selain untuk mempromosi perindustrian dan proses pembuatan dan lainnya.

Pertandingan ini dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu bahagian penyertaan tempatan yang mempunyai tiga kategori, bahagian pertandingan Smart Junior yang mula diperkenalkan pada Anugerah CIPTA 2015 dan dibuka untuk penuntut sekolah menengah saja.

Manakala itu, bahagian Pertandingan ASEAN pula mengandungi dua kategori iaitu kategori Ciptaan dan Inovasi Baharu dan kategori Pencipta Muda. Sehubungan itu, orang ramai yang berminat untuk menyertai pertandingan ini bolehlah mendapatkan maklumat lanjut atau borang pendaftaran di laman sesawang CIPTA 2017 di www.utb.edu,bn/cipta dan penyertaan ditutup pada 31 Oktober 2016.

ARTIKEL YANG SAMA