Tingkat pengetahuan mengenai kanser payudara

Tingkat pengetahuan mengenai kanser payudara

Oleh Imelda Groves HA

 

pg06_161017_mahkamah-logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Faktor asas yang paling penting untuk setiap kalangan masyarakat dalam menangani masalah kanser adalah dengan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kesedaran mengenai kanser tersebut.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Pengerusi Biro Wanita Majlis Perundingan Mukim Lumapas, Hajah Hammah binti Puasa ketika berucap pada Kempen Kesedaran Kanser Payudara anjuran bersama Pusat Promosi Kesihatan dan Biro Wanita Majlis Perundingan Mukim Lumapas yang berlangsung di Dewan Sekolah Mukim Lumapas, di sini, hari ini

Hajah Hammah menambah bahawa kanser yang melibatkan organ reproduktif wanita termasuk kanser payu dara adalah salah satu bidang yang semakin mencabar.

“Kita amat beruntung kerana telah bekerjasama dengan Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam bagi melaksanakan tanggungjawab sosial yang akan sama-sama kita tangani sesuai dengan tema yang disepakati,” ujarnya lagi.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa kempen itu juga diadakan dalam meningkatkan kesedaran yang berterusan mengenai kanser payudara dan tindakan yang perlu diambil oleh masyarakat khususnya kaum wanita yang sering menjadi sasaran serangan kanser payudara sama ada disedari atau tidak, tanpa mengira peringkat umur.

Menurutnya lagi, program seperti itu akan menjadi pencetus minda dan semangat kepada semua ahli jawatankuasa penyelenggara dan para peserta yang hadir untuk berusaha mengekalkan gaya hidup sihat demi kelangsungan, keselesaan dan kebahagiaan hidup yang diredai Allah S.W.T.