Tingkat pengetahuan pemerolehan

Tingkat pengetahuan pemerolehan

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Kebanyakan syarikat belum mencapai tahap prestasi pemerolehan yang sangat baik kerana kekurangan tanggungjawab dalam memimpin perbelanjaan syarikat, mempunyai hubungan strategik organisasi yang lemah, dan kesukaran berkomunikasi yang boleh menyebabkan permasalahan pemerolehan sesebuah syarikat itu lemah.

Bagi menangani masalah tersebut, CONFEX telah menganjurkan Persidangan Pemerolehan Brunei yang bertemakan ‘Mapping The Future of Procurement’ di Hotel Parkview, Jerudong, hari ini.

Melalui persidangan tersebut, tiga pakar pemerolehan antarabangsa telah dijemput bagi mengongsikan kepakaran dan pengetahuan mereka dalam menambah nilai kepada perniagaan dengan penjimatan penyampaian lebih cepat, mengurangkan risiko dan mengubah prestasi fungsian mengikut standard global serta amalan kepimpinan.

Pengurus Projek CONFEX, Dayangku Maznah binti Pengiran Badaruddin semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya berkata, persidangan ini melibatkan para peserta dari sektor swasta dan kerajaan supaya dapat mengambil manfaat dan dapat menguruskan pemerolehan syarikat mereka ke arah yang lebih baik.

Persidangan Pemerolehan Brunei itu dimulakan dengan taklimat mengenai Biro Mencegah Rasuah yang disampaikan oleh Penyiasat Khas Kanan, Haji Hisham bin Haji Sulaiman dan diikuti dengan pembentangan bertajuk ‘Licensing the Profession’ oleh Pengurus Besar Australasia, Chartered Institute of Purchasing & Supply, Mark Lamb.

Antara peserta-peserta yang hadir di Persidangan ‘Pemerolehan Brunei’ yang bertemakan ‘Mapping The Future of Procurement’ di Hotel Parkview, Jerudong.
Antara peserta-peserta yang hadir di Persidangan ‘Pemerolehan Brunei’ yang bertemakan ‘Mapping The Future of Procurement’ di Hotel Parkview, Jerudong.

Pembentang kedua pula ialah pesara Leftenan Kolonel tentera yang menjadi pensyarah dengan pengkhususan dalam subjek-subjek berkaitan kepimpinan dan pengurusan termasuk pembangunan pasukan berprestasi tinggi serta pembangunan dan perubahan organisasi, Dr Keith Thomas yang membincangkan tajuk ‘The Practice of Leadership: To What end and by What Means’ dengan mengongsi dua aspek utama dalam amalan kepimpinan.

Manakala itu, Pengarah dan Konsultan Utama Asia Pacific Advanced Consultants (APAC), Kristina Malihi turut dijemput untuk mengendalikan bengkel dua hari mengenai ‘Proses Pemerolehan Yang Berkesan’ bermula esok, dan pagi tadi, beliau mengongsikan aspek-aspek dalam amalan pengurusan pembekal dengan tajuknya ‘Building sustainable learning organisation by effective supplier performance measurement and evaluation process’.

Agenda persidangan itu adalah untuk mengumpul pakar-pakar pemerolehan dan profesional ke arah aktiviti komersial yang lebih sihat dan positif untuk kedua-dua sektor swasta dan awam, di samping dapat memperkasakan perwakilan persidangan dengan menambah pengetahuan dan panduan mengenai trend terkini dalam pasaran global.

ARTIKEL YANG SAMA