Tingkat pengetahuan tangani isu pemerdagangan manusia

Tingkat pengetahuan tangani isu pemerdagangan manusia

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Untuk meningkatkan pengetahuan dalam menangani isu-isu pemerdagangan manusia, Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia, Jabatan Siasatan Jenayah telah mengadakan taklimat pengenalan dan isu-isu mengenainya di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), kelmarin.

Taklimat telah disampaikan oleh Ketua Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia, ASP Ang Lay Bee dan Penolong Ketua Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia, Jabatan Siasatan Jenayah, Insp. Awangku Saifulamirul Muhammad bin Pengiran Haji Ramlee.

Beliau antara lain menyentuh mengenai pengenalan dan pengertian Pemerdagangan Manusia, ‘Trafficking and Smuggling of Persons Order 2004’, pengertian mengenai perbezaan di antara Pemerdagangan Manusia (Human Trafficking) dan Penyeludupan Manusia (Human Smuggling), kajian kes-kes dan petunjuk-petunjuk mengenai pemerdagangan manusia.

Turut hadir pada taklimat tersebut ialah Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Awang Azmi bin Haji Hafneh, para penolong pengarah imigresen, pemangku penolong pengarah pendaftaran kebangsaan, ketua-ketua pegawai imigresen kanan, ketua pegawai imigresen, para pegawai kanan dan pegawai-pegawai imigresen.

Menurut kenyataan JIPK, objektif utama taklimat adalah sebagai usaha berterusan bagi meningkatkan lagi langkah-langkah kesedaran dalam mengenal pasti melalui petunjuk-petunjuk pemerdagangan manusia di samping berkongsi pengalaman terutamanya yang melibatkan pegawai-pegawai yang bertugas di pos-pos kawalan pemeriksaan imigresen dan juga Bahagian Penguatkuasaan JIPK.

ASP Ang Lay Bee ketika menyampaikan taklimat.
ASP Ang Lay Bee ketika menyampaikan taklimat.
Antara yang hadir pada sesi taklimat tersebut.
Antara yang hadir pada sesi taklimat tersebut.