Tingkat pengetahuan tangani kecemasan

Tingkat pengetahuan tangani kecemasan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 12 Ogos – Untuk memberi pengetahuan dan pendedahan kepada warga sekolah bagi menangani kecemasan kebakaran serta persediaan langkah-langkah awal dari segi keselamatan, Cawangan Operasi ‘E’, Bomba dan Penyelamat, Daerah Tutong, semalam telah mengadakan taklimat Keselamatan dan Pencegah Kebakaran di Dewan Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman (SMSO), Bukit Beruang, Tutong.

Seramai 700 orang penuntut, guru dan kakitangan SMSO hadir mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Awam Cawangan Operasi ‘E’, Pegawai Balai Nur Halimatul Halimah binti Abdullah Chin.

Turut hadir ialah Timbalan Pengetua SMSO, Richard Jemat Medan.

Selain mendengarkan taklimat, para pelajar dan guru-guru juga ditunjuk ajar cara-cara menggunakan alat-alat pemadam api bersesuaian yang terdapat di bangunan sekolah berkenaan.

Semasa tunjuk cara-cara pengunaan alat-alat pemadam api diadakan.
Semasa tunjuk cara-cara pengunaan alat-alat pemadam api diadakan.

Demonstrasi berkenaan telah dilakukan oleh Pegawai Pencegah Kebakaran dan Penyiasatan Cawangan Operasi ‘E’, Timbalan Pegawai Balai Bahrin bin Haji Mohd Noor.

Lebih menarik, warga sekolah juga diberikan kesempatan untuk mengendalikan sendiri alat-alat pemadam api dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kejadian kebakaran.

Selain mengadakan Taklimat Keselamatan dan Pencegahan Kebakaran, Cawangan Operasi ‘E’ akan mengadakan latihan Baris Pengosongan Bangunan di sekolah berkenaan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

ARTIKEL YANG SAMA