Tingkat pengetahuan ubat

Tingkat pengetahuan ubat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 2 Sept – Sebagai langkah untuk memberigakan tentang perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan, Jabatan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan telah meneruskan Jerayawara Farmasi yang bertema ‘Ketahui Ubatan Awda – Tanyalah Ahli Farmasi’ hari ini di Hospital Suri Seri Begawan di sini.

Jerayawara tersebut yang dihadiri oleh kalangan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara Daerah Belait, penjawat-penjawat awam, para penuntut dan ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung turut bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai ubat-ubatan, produk kesihatan dan produk kosmetik termasuk peraturan pengawalannya.

Di samping itu, ia juga mempromosikan profesion farmasi, melalui sesi interaktif yang berkaitan dengan ubat-ubatan dengan orang ramai bagi mendapatkan maklumat asas perkhidmatan jabatan tersebut.

Ahli Kimia Ubat, Farmasi Pesakit Luar, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Haji Khalid bin Haji Zolkipli, dalam temu bual dengan wartawan Media Permata, mengatakan terdapat aduan giliran mengambil ubat yang lama dalam kalangan pesakit luar dan jabatan itu sentiasa berusaha memperbaiki dan meningkatkan tahap perkhidmatan mereka dengan nilai tambah bertujuan untuk membantu mempercepatkan lagi proses mengambil ubat dan mengurangkan waktu menunggu di kalangan pesakit.

Menurutnya lagi, antara perkhidmatan yang diperkenalkan adalah perkhidmatan ‘Call and Collect’ yang merupakan perkhidmatan bagi memudahkan pesakit untuk memesan bekalan ubat bulanan melalui telefon pada waktu bekerja dan mengambil ubat di waktu yang telah ditetapkan.

Dayang Linda Lim Ying Ying menyampaikan ceramah bertajuk Cara Penggunaan dan Penyimpanan Ubat yang Betul.
Dayang Linda Lim Ying Ying menyampaikan ceramah bertajuk Cara Penggunaan dan Penyimpanan Ubat yang Betul.
Kakitangan hospital, penuntut dan guru antara yang menghadiri jerayawara.
Kakitangan hospital, penuntut dan guru antara yang menghadiri jerayawara.

“Buat masa ini perkhidmatan itu menggunakan telefon dan e-mel, selain itu jabatan kami juga sudah dalam perancangan untuk melanjutkan perkhidmatan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS),” tambahnya.

Sementara itu Pegawai Farmasi Hospital Suri Seri Begawan Awang Daniel Wee pula menjelaskan jabatan mereka menggunakan cara perkhidmatan membukakan tiga kaunter iaitu kaunter pertama bagi pesakit yang hanya mengambil dua jenis ubat yang dinamakan laluan pantas, tidak perlu mengambil nombor akan terus menerima layanan, satu lagi kaunter pesakit yang mengambil lebih daripada dua jenis ubat, kaunter lainnya dinamakan Priority Kaunter bagi pesakit berusia 60 tahun ke atas, ibu-ibu mengandung dan membawa anak damit.

“Satu lagi kaunter di mana pesakit boleh meninggalkan kad dan boleh kembali semula ke hospital pada keesokan harinya dengan hanya membawa kupon dan mengambil bekalan ubat tanpa perlu menunggu,” katanya.

Selain itu, setiap bekalan ubat yang hendak diberikan kepada pesakit perlulah diteliti terlebih dahulu sehingga kadang-kadang perlu mengesahkan semula kepada pegawai perubatan sebelum memberikan kepada pesakit, dan ini, tambahnya adalah penyebab kadang-kadang terlambat sedikit waktu menunggu.

Jerayawara tersebut juga mengukuhkan dan mengeratkan kerjasama, pengetahuan dan memberigakan perkhidmatan-perkhidmatan farmasi kepada orang awam melalui pameran, program pendidikan dan jerayawara.

Antara pengisian jerayawara adalah ceramah mengenai Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi oleh Haji Khalid, disusuli ceramah oleh Pegawai Jabatan Farmasi, Dayang Linda Lim Ying Ying mengenai Cara Penggunaan dan Penyimpanan Ubat Yang Betul.

Ceramah lain termasuklah Ubat Generik oleh Awang Cornelius Cheong Mun Khiong, Kepatuhan Terhadap Ubat-ubatan oleh Dayang Rosmah Haji Mohd Shah, Waspada dengan Penggunaan Produk Kesihatan oleh Dayang Norhasidah binti Haji Abdul Rahman dan Penggunaan Produk Kosmetik yang Selamat oleh Dayang Ellys Haji Mohammed.

Sesi soal jawab juga telah dibukakan untuk memberikan peluang yang menghadiri majlis berinteraksi dengan pegawai-pegawai jabatan berkenaan selain menanyakan persoalan yang perlu mereka ketahui atau fahami.

Jerayawara itu juga dimuatkan dengan pameran perubatan.

ARTIKEL YANG SAMA