Tingkat penggunaan sarung tangan getah tempatan

Tingkat penggunaan sarung tangan getah tempatan

KUCHING, 3 Mac (Bernama) – Institusi perubatan Malaysia yang menggunakan sarung tangan getah, perlu sebaliknya, menggunakan sarung tangan buatan tempatan untuk membantu negara menjimatkan tukaran wang asing.

Ketika membuat gesaan itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata sungguhpun Malaysia adalah negara peneraju dalam pengeluaran sarung tangan getah dunia dan pengeksport utama produk itu, namun negara mengimport sarung tangan getah bernilai RM301 juta tahun lepas.

Beliau berkata sebahagian daripada sarung tangan itu diimport oleh syarikat Malaysia daripada anak syarikat mereka di Thailand dan negara lain untuk dibungkus serta dieksport semula.

Uggah berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca oleh Pengerusi Majlis Penggalakan Eksport Getah Malaysia (MREPC) Ahmad Lai Bujang, dalam program Derma Sejuta Sarung Tangan anjuran MREPC kepada Jabatan Kesihatan negeri, di sini hari ini.

Ahmad Lai juga adalah Anggota Parlimen Sibuti.

Ahmad Lai Bujang menunjukkan kualiti sarung tangan berkualiti tinggi selepas menyerahkan derma satu juta sarung tangan kepada Timbalan Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chia Jit Chie (kanan) untuk edaran seluruh hospital dan klinik di Sarawak dalam usaha mengawal risiko jangkitan penyakit. – Bernama
Ahmad Lai Bujang menunjukkan kualiti sarung tangan berkualiti tinggi selepas menyerahkan derma satu juta sarung tangan kepada Timbalan Pengarah Kesihatan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Chia Jit Chie (kanan) untuk edaran seluruh hospital dan klinik di Sarawak dalam usaha mengawal risiko jangkitan penyakit. – Bernama

Uggah berkata eksport sarung tangan getah Malaysia membentuk 52 peratus daripada jumlah eksport sarung tangan getah di dunia dan berada di lebih 190 negara.

Beliau berkata tahun lepas, nilai eksport sarung tangan getah yang direkodkan adalah RM13 bilion, suatu peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Katanya kejayaan industri sarung tangan perubatan Malaysia dicapai berikutan kecekapan pengeluar tempatan dalam menghasilkan produk berkualiti, dan usaha berterusan kerajaan dan sektor swasta dalam memasarkan serta mempromosi produk berkenaan.

“Ke arah mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport utama sarung tangan getah di dunia, kami akan meneruskan usaha untuk memasarkan serta mempromosi sarung tangan getah perubatan,” katanya.

Uggah berkata dianggarkan dari tempoh sekarang dan tahun 2020, industri sarung tangan getah merancang untuk melabur sehingga RM7 bilion untuk memperluaskan lagi kapasiti pengeluaran.

Katanya pelaburan itu akan turut memberi tumpuan dalam menambah baik teknologi dan automasi yang sangat penting bagi mempertingkatkan produktiviti serta kecekapan industri berkenaan.

“Pada masa sama, usaha ini dalam jangka panjang akan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing,” katanya.

Pengeluar sarung tangan di Malaysia menggaji lebih 41,000 pekerja di kilang mereka, dengan pekerja asing mewakili 71 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja.

ARTIKEL YANG SAMA