Tingkat penghayatan Al-Quran

Tingkat penghayatan Al-Quran

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 19 Jun – Majlis Perundingan Mukim (MPM) Batu Apoi dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Batu Apoi baru-baru ini telah mengendalikan Pertandingan Menghafaz Surah-surah Pilihan berserta Pemahaman sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun.

Majlis berlangsung di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar di sini.

Sebanyak enam kategori telah dipertandingkan melibatkan seramai 18 orang peserta mewakili pasukan MPM/MPK masing masing.

Dalam Kategori ‘A’ (Kanak-kanak Lelaki) dimenangi oleh Mohd Syafiq Sahiran bin Mohd Naspawadi, manakala Kategori ‘B’ (Kanak-kanak Perempuan) dimenangi oleh Latifah Hanini binti Haji Mohd Jini.

Kategori ‘C’ (Remaja Lelaki) pula dimenangi oleh Awang Muhammad Syafiq Iskandar bin Abdullah dan Kategori ‘D’ (Remaja Perempuan) dimenangi oleh Dayang Nor Hamizah binti Aji.

Salah seorang peserta pertandingan ketika menerima hadiah daripada tetamu kehormat.
Salah seorang peserta pertandingan ketika menerima hadiah daripada tetamu kehormat.

Bagi Kategori ‘E’ (Dewasa Lelaki Terbuka) pula dimenangi oleh Haji Mohd Asri bin Haji Timbang, manakala Dayangku Nurajaimah binti Pengiran Ajak pula memenangi Kategori ‘F’ (Dewasa Perempuan Terbuka).

Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud.

Turut hadir menyaksikan pertandingan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, penghulu-penghulu mukim, ketua kampung serta ahli-ahli MPM/MPK dan ahli takmir masjid Daerah Temburong.

Kesemua pemenang dalam kategori masing-masing akan mewakili daerah ini ke pertandingan peringkat negara yang bakal diadakan di Daerah Tutong.

Dengan adanya program seumpama ini, ia adalah dihasratkan akan dapat meningkatkan penghayatan terhadap Al-Quran yang sebenar dengan memahami isi dan tafsiran yang terkandung di dalamnya sebagai panduan hidup ke arah yang lebih baik.

ARTIKEL YANG SAMA