Tingkat penghayatan Al-Quran

Tingkat penghayatan Al-Quran

Oleh Pg Fairol RMF

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Nov – Dalam usaha meningkatkan penghayatan Al-Quran dalam kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan telah menganjurkan Musabaqah Tilawah Al-Quran peringkat akhir sempena Hari Guru ke-26 hari ini.

Muncul juara bagi kategori qari pada pertandingan itu ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Manaf dari Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan manakala Dayang Rubiah binti Haji Timbang dari Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), menjuarai kategori qariah.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Sementara itu, Haji Mohd Asri bin Haji Timbang wakil dari JPI, KHEU dan Dayang Norzirwatul Fadhillah binti Haji Puteh wakil dari Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan memenangi tempat kedua bagi kategori qari dan qariah.

Musabaqah tersebut telah disertai 14 qari dan 16 qariah di peringkat saringan, namun hanya empat peserta lelaki dan empat peserta wanita berjaya mara ke peringkat akhir.

Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada juara qari, Haji Abdul Rahman dari Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada juara qari, Haji Abdul Rahman dari Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan hadiah kepada juara qariah, Dayang Rubiah dari Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan hadiah kepada juara qariah, Dayang Rubiah dari Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Persembahan nasyid menyerikan lagi majlis tersebut.
Persembahan nasyid menyerikan lagi majlis tersebut.

Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum selaku pengerusi majlis, Haji Azis bin Haji Nayan semasa berucap pada musabaqah tersebut berkata, Musabaqah Tilawah Al-Quran tahun ini bukan saja mempertandingkan pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan malah ahli-ahli Jawatankuasa Tilawah Al-Quran juga telah menjemput pegawai-pegawai dan kakitangan dari JPI, KHEU.

Memandangkan keramaian peserta yang amat menggalakkan, ahli jawatankuasa telah memutuskan untuk mengadakan peringkat saringan selama dua hari berturut-turut pada 17 dan 18 Oktober yang lalu bertempat di Bilik Persidangan 1, Kementerian Pendidikan.

Tambahnya, “Musabaqah Tilawah Al-Quran juga bertujuan menggalakkan dan memupuk minat membaca Al-Quran dalam kalangan pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.”

Ia turut diadakan bagi memperbaiki dan mempertingkatkan mutu bacaan di samping mengamalkan dan menghayati isi kandungan.

Ini juga bertepatan dengan titah yang dihasratkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara zikir.

ARTIKEL YANG SAMA