Tingkat penglibatan pelajar sertai aktiviti

Tingkat penglibatan pelajar sertai aktiviti

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Dis – Penglibatan para pelajar dalam kegiatan-kegiatan anjuran Majlis Pelajar Institut Teknologi Brunei (ITB) dan kegiatan yang dikendalikan oleh institut berkenaan, mampu untuk menyatupadukan lagi para pelajar serta memberikan pengalaman yang berguna kepada para pelajar ITB.

Perkara itu antara yang disentuh oleh Yang Di-Pertua Majlis Pelajar ITB yang baru dilantik, Awang Mohammad Shafi’ei bin Ferry Alfian semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pemilihan Yang Di-Pertua Majlis Pelajar ITB sesi 2016/2017 yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Fasa 3, ITB, hari ini.

Hadir pada majlis pemilihan itu ialah Naib Canselor ITB, Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman, para pegawai utama dan pegawai-pegawai hal ehwal pelajar ITB.

Awang Mohammad Shafi’ei juga menyatakan harapan bagi meningkatkan hubungan silaturahim dalam kalangan pelajar dan pensyarah ITB serta untuk menjana suasana kekeluargaan dalam kalangan semua warga ITB.

Mengulas mengenai perancangan bagi Sambutan Ulang Tahun Penubuhan ITB ke-30, beliau berkata salah satu cadangan yang dikemukakan adalah bagi mengadakan program pendekatan kepada masyarakat iaitu untuk berkunjung dan bertemu dengan masyarakat bagi memberikan penerangan mengenai ITB bukan sahaja daripada segi akademik tetapi juga kegiatan yang dikendalikan secara mendalam.

Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah, antara yang hadir membuat penilaian bagi pemilihan lantikan tersebut.
Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah, antara yang hadir membuat penilaian bagi pemilihan lantikan tersebut.

Melalui pendekatan itu, para pelajar ITB juga mampu untuk menanamkan semangat kesukarelawanan dengan mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan untuk membantu golongan yang memerlukan dan melahirkan perasaan perpaduan di antara pelajar dan masyarakat.

Pada majlis itu, Dr. Hajah Zohrah turut menasihati para calon pemilihan bahawa mereka mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin yang baik dan untuk menggunakan pengalaman yang diperoleh sebagai platform bagi memajukan diri mereka supaya mampu menjadi pemimpin yang dinamik dan berkaliber pada masa akan datang.

Pada majlis itu, enam orang calon telah disenarai-pendekkan bagi lantikan sebagai Yang Di-Pertua Majlis Pelajar ITB iaitu Awang Mohammad Shafi’ei, Dayangku Siti Nor Farhanah binti Pengiran Othman, Awang Abdul Ilaah bin Anver, Awang Ahmad Faiz bin Haji Muhammad Fuad, Dayang Noor Ani Amanina binti Adnan dan Awang Muhammad Danial bin Ramadan.

Semasa pemilihan itu, setiap calon diberikan masa 10 minit untuk menyampaikan hujah-hujah mereka mengenai perkara yang akan diketengahkan apabila mereka dilantik sebagai Yang Di-Pertua serta perancangan mereka bagi Sambutan Ulang Tahun Penubuhan ITB ke-30.

Mereka juga dinilai berasaskan kepada isi kandungan hujah mereka serta kemahiran komunikasi masing-masing.

Majlis itu bermatlamat untuk mengenal pasti calon terbaik untuk dipilih sebagai Yang Di-Pertua Majlis Pelajar ITB bagi sesi 2016/2017 dan untuk menjana proses penilaian dan pemilihan majlis pelajar yang adil.

Di akhir majlis berkenaan, Awang Mohammad Shafi’ei telah diumumkan dan dilantik sebagai Yang Di-Pertua manakala Awang Ahmad Faiz pula dipilih sebagai Naib Yang Di-Pertua.

ARTIKEL YANG SAMA