Tingkat perkembangan sukan dari awal

Tingkat perkembangan sukan dari awal

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 21 Mac – Sebagai usaha meningkatkan perkembangan sukan dalam kalangan murid-murid, Jabatan Pendidikan Kokurikulum melalui cawangan Daerah Tutong telah mengendalikan kem sukan bagi kanak-kanak sekolah rendah khusus bagi Daerah Tutong.

Empat jenis sukan dipilih bagi program cuti penggal pertama persekolahan ini, iaitu badminton, renang, olahraga dan bola jaring yang mana sasaran dibukakan kepada murid-murid dari sekolah-sekolah rendah dan swasta di daerah ini.

Perkhemahan yang berlangsung selama tiga hari hingga 23 Mac itu diadakan di dua buah tempat iaitu Kompleks Sukan Tutong yang melibatkan sukan bola jaring, renang dan olahraga, serta di Dewan Kemasyarakatan Serambangun bagi sukan badminton.

Penganjuran program ini bertujuan untuk memastikan kanak-kanak di daerah ini berpeluang merasai pengalaman bersukan di bawah latihan jurulatih-jurulatih yang berpengalaman di samping dapat membina dan mengembangkan minat kanak-kanak untuk menyertai sukan yang mereka minati.

Melalui sukan, mereka akan dapat membina sifat percaya diri, ketahanan mental dan paling penting dapat mengembangkan keupayaan atau kecergasan mereka.

Peserta-peserta yang mengikuti kem olahraga di Kompleks Sukan Tutong.
Peserta-peserta yang mengikuti kem olahraga di Kompleks Sukan Tutong.
Salah seorang jurulatih berpengalaman mengajar murid-murid mengenai sukan renang.
Salah seorang jurulatih berpengalaman mengajar murid-murid mengenai sukan renang.

Antara objektifnya adalah untuk memberikan pengalaman terbaik kepada kanak-kanak menimba ilmu dalam sukan dan menanam minat mereka dalam sukan, memberikan suasana yang menyenangkan dengan menyertai aktiviti fizikal dan kemahiran-kemahiran baru, memberikan peluang kepada kanak-kanak berinteraksi dan bersosial dengan kawan-kawan baru yang berlainan latar belakang, bangsa dan kebolehan.

Melalui sukan, kanak-kanak juga akan dapat mempelajari kepentingan nilai-nilai kejujuran, kerja berpasukan, permainan bersih, menghormati pendapat orang lain dan menghormati undang-undang permainan dan sebagainya.

Kem sukan yang diadakan semasa musim cuti persekolahan bagi mengisi masa lapang ini juga dirancang untuk mengembangkan kemahiran kanak-kanak dengan penekanan untuk memberikan keseronokan bermain, mencari kanak-kanak yang berpotensi dan diharapkan akan dapat dilatih secara berterusan, serta memberikan pendedahan beberapa jenis sukan kepada kanak-kanak di awal usia.

ARTIKEL YANG SAMA