Tingkat persediaan kecemasan

Tingkat persediaan kecemasan

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Kakitangan dan pengunjung Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) termasuk penyewa-penyewa di bangunan Airport Mall telah dipindahkan ke tempat selamat semasa latihan kebakaran yang dijalankan semalam.

Latihan yang dijalankan dengan kerjasama Airport Mall Property Management dan penyewa-penyewa berkenaan bermatlamat untuk melengkapkan kakitangan TAIB dan penyewa-penyewa dengan pengetahuan dan mempercepatkan masa tindak balas dalam situasi kecemasan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TAIB, hari ini, senario latihan itu menyaksikan kebakaran berlaku di dalam salah sebuah kedai penyewa. Ketua marsyal bomba TAIB dan bangunan berkenaan bertindak segera menyelaraskan prosedur tindak balas kecemasan dan memaklumkan agensi-agensi berkaitan.

Dalam masa beberapa minit, semua kakitangan TAIB, para penyewa, pelanggan dan pengunjung dipindahkan dengan selamat daripada bangunan tersebut di bawah arahan marsyal bomba TAIB dan penyewa-penyewa yang terlatih.

Tidak lama kemudian, anggota bomba dan penyelamat tiba untuk mengawal kebakaran dan menyelamatkan mereka yang cedera.

Gambar ramai bersama yang terlibat dalam latihan tersebut.
Gambar ramai bersama yang terlibat dalam latihan tersebut.

Ketua Risiko Operasi TAIB, Hajah Fatimah binti Haji Masri memberitahu bahawa latihan kebakaran berfungsi sebagai peluang bagi kakitangan dan para penyewa untuk menunjukkan, di bawah situasi kebakaran, bahawa mereka dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab keselamatan kebakaran dan pemindahan dengan selamat dan cekap.

Selain itu, juga penting untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan kakitangan dan penyewa mengenai strategi-strategi yang dilaksanakan dengan menggunakan ciri-ciri keselamatan kemudahan bangunan berkenaan untuk melindungi orang di bawah jagaan mereka.

TAIB diwajibkan untuk melaksanakan latihan kebakaran tahunan di kesemua premisnya, dengan pemindahan sepenuhnya, yang berobjektif untuk meningkatkan paras persediaan jika berlaku kecemasan.

ARTIKEL YANG SAMA