Tingkat prestasi pekerjaan

Tingkat prestasi pekerjaan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Ke arah menyemai sikap positif, bersemangat dan bertanggungjawab dalam memenuhi permintaan para pelanggan, Syarikat Concepts Computer telah mengadakan Sesi Ceramah Motivasi dan Memperkasa Diri untuk warga kerjanya kelmarin.

Ceramah yang diadakan di Brilliance Hall, Concepts Computer, Kiulap itu disampaikan oleh penceramah motivasi terkenal, Dr. Ali Qassem dari K-Mas Management.

Dr. Ali Qassem dalam ceramahnya bertajuk ‘Driving Corporate Productivity the Heroes Way’ antara lain menyentuh mengenai pembentukan disiplin individu dalam pekerjaan serta menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan para pelanggan bagi mencapai matlamat sesebuah syarikat.

Inti pati ceramah beliau juga menyentuh mengenai bagaimana menjalankan tugas-tugas yang telah diberikan, membina keyakinan terhadap diri sendiri, menyemai pemikiran kreatif, berinisiatif, cemerlang dan berjaya dalam kerjaya dan kehidupan.

Menurut Pengarah Urusan Concepts Group Companies, Vincent Pao, ceramah tersebut sangat berguna untuk semua kakitangan terutama mereka yang berkaitan dengan bidang IT.

Warga Concepts Computer semasa menghadiri majlis ceramah itu.
Warga Concepts Computer semasa menghadiri majlis ceramah itu.

Memandangkan industri IT ketika ini semakin mencabar dan permintaan para pelanggan terhadap teknologi terbaru semakin meningkat, beliau menyeru kepada kakitangan supaya lebih fokus dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi para pelanggan.

“Saya berharap ceramah ini akan dapat memberikan jalan kepada syarikat untuk berkembang dengan lebih baik menjelang tahun baru 2017 nanti dan dapat menangani dan mengharungi setiap cabaran,” tambahnya.

Selain memupuk sikap dan motivasi para pekerja ke arah yang lebih baik, ceramah tersebut juga diadakan sebagai persediaan awal menjelang tahun 2017 bagi semua kakitangan dan pengurusan di bawah Concepts Group of Companies termasuk Concepts Computer On Time Service Network dan juga organisasi IT di bawah pengurusan syarikat tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA