Tingkat prestasi secara perpasukan

Tingkat prestasi secara perpasukan

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Mei – Setiap pasukan perlu berusaha secara berpasukan dalam menempuh saat turun naik dalam apa jua cabaran demi untuk memperbaiki keadaan agar menjadi lebih baik.

Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC, Steve Kean menegaskan perkara tersebut semasa ditemui di Stadium Mini Jerudong, semalam.

Mengulas mengenai dua kekalahan di tempat sendiri hujung minggu lalu dan seminggu sebelumnya di sana, Steve Kean menegaskan kekecewaan besarnya adalah apabila Brunei DPMM FC dibolosi pada saat akhir.

“Jika dianalisa rakaman perlawanan kebelakangan ini, kita sememangnya boleh dan mampu menang, namun mungkin pihak lawan lebih cepat mengambil peluang atas kesilapan kecil dalam permainan untuk merampas tiga mata penuh perlawanan,” jelasnya.

Mengulas mengenai perancangan perlawanan akan datang ini, beliau merancang untuk membuat beberapa perubahan bagi usaha menghasilkan percikan di bahagian serangan dan kekuatan di bahagian pertahanan.

“Kita tidak memerlukan rombakan besar akan tetapi sasaran dari sudut alternatif adalah perlu untuk bahagian hadapan dan pada masa yang sama dapat memperkukuhkan pertahanan termasuk kepada penjaga gol yang diterajui Wardun Mohd Yussof,” ujarnya.

Steve Kean ketika mengadakan latihan bersama Pasukan DPMM FC, semalam.
Steve Kean ketika mengadakan latihan bersama Pasukan DPMM FC, semalam.

Beliau juga menyatakan harapannya supaya apa yang diusahakan anak-anak didiknya sepanjang minggu ini akan membuahkan hasil, meskipun keadaan turun naik ini merupakan suatu perkara biasa, namun keadaan pasukan bimbingannya itu masih baik.

“Semua pasukan akan menghadapi naik turun dalam musim kejohanan. Saya lebih risau jika kita tidak berjaya mencipta peluang. Namun saya lega kerana kita masih mampu mengawal permainan dan perlu mencari penyudah dan menjaga prestasi,” tegasnya lagi kepada media semalam.

Selepas kekalahan minggu lalu, Steve Kean turut menegaskan akan membuat latihan pengasingan dan katanya “Saya membahagikan latihan kepada dua bahagian pertahanan dan serangan yang pada saya menampakkan peningkatan yang sangat memberangsangkan.”

Menurutnya lagi, melalui latihan itu para pemain akan dapat menumpukan kepada koordinasi berpasukan di bahagian masing-masing dan ia dihasratkan akan memperbaiki keadaan perlawanan pada minggu ini.

“Kita jarang tewas dua perlawanan sekali gus namun saya berharap keadaan akan bertambah baik dan kami komited berjuang untuk kelab, namun persaingannya dalam liga kini semakin hangat dan saya sendiri tidak mahu melihat carta buat masa ini kerana seperti yang dijangka persaingan adalah hebat.” Ujarnya.

Sebelum mengakhiri temu bual bersamanya, beliau berharap perlawanan seterusnya di Kota Singapura besok, pasukan negara akan dapat menunjukkan corak permainan yang baik dan berjaya mengekalkan kedudukan tanpa bolos sehingga selesai wisel penamat pada minit ke-90 di sana nanti.

ARTIKEL YANG SAMA