Tingkat produk tempatan

Tingkat produk tempatan

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Sim Y.H & Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Untuk menyokong pembangunan sosioekonomi dan keusahawanan serta menawarkan pekerjaan kepada penduduk tempatan, Dewan Perniagaan dan Perdagangan Melayu Brunei (DPPMB) menganjurkan Acara Ekspo Produk Tempatan dan Kebudayaan di Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan bermula hari ini hingga 28 Ogos 2016.

Turut mengunjungi acara berkenaan pagi tadi ialah Menteri-menteri ASEAN dan rakan dialog yang bertanggungjawab bagi kebudayaan dan kesenian yang berada di negara ini bagi Mesyuarat AMCA dan AMCA+3, termasuk Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Wakil daripada DPPMB, Kapten (B) Zailan bin Pehin Dato Mohd Don ketika ditemui berkata, ekspo yang diadakan ini antara lain bertujuan untuk menyokong pengusaha-pengusaha tempatan dengan produk mereka yang memang dipercayai sangat berkualiti yang juga boleh menembusi pasaran antarabangsa.

“Ekspo ini juga mempromosikan pelbagai produk bermula daripada produk moden buatan tempatan yang berkualiti, produk tradisi penduduk Brunei (Dusun, Murut, Iban dan Melayu).

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bersama para delegasi ASEAN ketika menyaksikan pameran.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bersama para delegasi ASEAN ketika menyaksikan pameran.
Pertunjukan permainan gasing yang menjadi tumpuan delegasi ASEAN.
Pertunjukan permainan gasing yang menjadi tumpuan delegasi ASEAN.
Antara produk tempatan berkualiti yang dihasilkan oleh belia tempatan.
Antara produk tempatan berkualiti yang dihasilkan oleh belia tempatan.

Kapten (B) Zailan berkata, selain mempromosi dan mempamerkan produk-produk tempatan, ekspo ini juga bertujuan untuk membantu mengurangkan kadar pengangguran yang mana berada pada kadar 6.9 peratus di negara ini.

Acara ini diselaraskan dengan matlamat DPPMB dan Program Inisiatif Belia dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

“Penekanan utama kami sepanjang ekspo ini berlangsung, ia bukan hanya terhad kepada menjadi peserta atau penaja, tetapi untuk meningkatkan produk tempatan agar ia dapat dieksport ke luar negara dan meningkatkan KDNK Brunei sebagai ‘Non-Hydrocarbon Industries,” jelas beliau.

Ekspo berkenaan mengetengahkan lebih kurang 60 petak jualan yang disertai oleh belia-belia tempatan dan pengusaha kecil dan sederhana.

ARTIKEL YANG SAMA