Tingkat produktiviti pertanian

Tingkat produktiviti pertanian

Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 24 April – Dengan hasrat untuk meningkatkan lagi produktiviti pertanian dalam kalangan pengusaha-pengusaha ladang padi, Unit Pengembangan Pertanian Daerah Belait,  Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, baru-baru ini, telah mengendalikan Kursus Program Latihan Sistem Asas Pengurusan Tanaman Padi melalui Projek Sekolah Perladangan Pengusaha Padi.

Seramai 12 orang termasuk pegawai dan kakitangan Unit Pengembangan Pertanian Daerah Belait, telah menyertai kursus berkenaan yang telah diadakan selama empat minggu pada setiap Sabtu di Bangunan Maklumat, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Projek Penanaman Padi Lot Sengkuang Labi, Ulu Belait, di sini.

Kursus yang bermula 2 April lalu itu telah berakhir semalam dengan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus Program Latihan Sistem Asas Pengurusan Tanaman Padi.

Hadir menyempurnakan penyampaian sijil ialah Ketua Unit Pengembangan Pertanian Daerah Belait, Awang Mat Rusli bin Haji Abu Bakar.

Antara yang menyertai kursus tersebut.
Antara yang menyertai kursus tersebut.

Memberitahu Media Permata hari ini, Awang Mat Rusli berkata, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan telah menyasarkan agar semua pengusaha padi di seluruh negara akan mengikuti program berfaedah bagi menyumbang kepada peningkatan pengeluaran hasil padi tempatan negara.

Menurutnya lagi, kursus yang melalui projek Sekolah Perladangan Pengusaha Padi ini, dihasrat untuk dapat mengajar para pengusaha membuat keputusan dan tindakan yang tepat bagi mengatasi masalah yang bakal dihadapi dalam penanaman dan pengeluaran padi tempatan. “Mudah-mudahan melalui pendedahan kepada peserta segala pengetahuan yang diberikan sepanjang kursus, akan dapat meningkatkan lagi produktiviti dan pendapatan mereka selain mampu mengurangkan masalah pencemaran yang dihadapi,” ujarnya.

Kursus berkenaan dihasrat dapat memberikan pendedahan kepada peserta dalam meningkatkan lagi pendapatan serta mampu mengatasi atau mengurangkan masalah pencemaran terhadap alam sekitar yang disebabkan oleh aktiviti penanaman.

ARTIKEL YANG SAMA