Tingkat profesionalisme dalam persaingan

Tingkat profesionalisme dalam persaingan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek Negara Brunei Darussalam (PUJA), melalui Puja (B) Academy Sdn Bhd, telah menganjurkan ceramah bertajuk ‘Menangani Kelewatan, Permohonan dan Isu Lanjutan Masa’ yang berlangsung di Dewan Indera Pahlawan, Pusat Latihan Kementerian Pembangunan, di Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang dianjurkan bersama dengan Kementerian Pembangunan itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

Presiden PUJA, Haji Mohd Nazri bin Mohammad Yusof dalam ucapan alu-aluannya berkata, antara cabaran yang dihadapi oleh PUJA pada masa ini adalah, keyakinan dalam kalangan ahli pertubuhan dan sikap profesionalisme mereka terhadap profesion itu.

Bercakap di hadapan 150 orang peserta, beliau menegaskan, PUJA sentiasa mempromosi kualiti dalam kalangan ahlinya sambil berharap para hadirin yang kebanyakannya terdiri daripada wakil sektor pembinaan, pemaju, arkitek dan jurutera industri binaan akan dapat manfaat daripada ceramah berkenaan.

Tetamu kehormat (tiga kiri) mendengar ceramah mengenai isu penangguhan dan lanjutan masa pembinaan.
Tetamu kehormat (tiga kiri) mendengar ceramah mengenai isu penangguhan dan lanjutan masa pembinaan.

Ceramah disampaikan penceramah undangan dari Malaysia, Ir Harbans Singh KS yang menegaskan, pemain dalam industri terbabit perlu tahu dan sentiasa peka terhadap pembangunan dan perkembangan industri pembinaan yang berlaku di sekeliling mereka jika ingin terus bersaing dalam pasaran dan sikap peka itu haruslah didorong oleh daya inovasi.

Beliau juga menyentuh mengenai penubuhan sebuah mahkamah binaan dan mengongsi pengalaman perbicaraan yang dijalankan di mahkamah binaan di Malaysia, di mana lebih separuh daripada kes yang dicatatkan adalah berkaitan dengan lanjutan masa pembinaan.

ARTIKEL YANG SAMA