Tingkat saingan melalui skrin besar

Tingkat saingan melalui skrin besar

NEW YORK, 31 Ogos (AFP) – Samsung meningkatkan pertaruhan dalam pengeluaran telefon pintar menerusi pengenalan dua model skrin besar terbaharu serta sistem pembayaran bagi meningkatkan saingannya kepada Apple.

Langkah itu dilihat bertujuan memastikan pengeluar dari Korea Selatan itu kekal menerajui segmen telefon pintar dunia dengan meningkatkan saingannya kepada model popular Apple, iPhone 6 dan 6 Plus.

Pada majlis pelancaran di Lincoln Center di sini malam tadi, Samsung memperkenalkan model Galaxy S6 edge+ serta Galaxy Note 5 yang disasarkan kepada kalangan profesional.

Sepanjang tahun 2015, Samsung mencatatkan penurunan dari segi penjualan walaupun syarikat yang berpusat di Seoul itu adalah pengeluar telefon bimbit terbesar di dunia.

Samsung menguasai 15 peratus bahagian pasaran telefon bimbit di seluruh dunia. Samsung dilihat menekankan strategi pemasaran yang mengetengahkan telefon pintar mampu milik bagi menewaskan pesaingnya seperti Apple, Motorola dan LG.

Namun berbeza pula percaturan dengan pengeluar dari China seperti Xiaomi dan Huawei, yang mendominasi pasaran dengan varian telefon bimbit yang jauh lebih murah.

Pada masa yang sama, Samsung dilihat telah mula mengorak langkah dan menumpukan perhatian kepada peranti phablet (kacukan telefon dan tablet) tetapi haluan berkenaan tetap dikekang ekoran banyak pesaing lain telah sedia menguasai pasaran. Sememangnya saingan dunia elektronik adalah sukar, melihatkan syarikat seperti HTC yang menjadi peneraju telefon bimbit Android mengumumkan terpaksa menghentikan 15,000 pekerjanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

ARTIKEL YANG SAMA