Tingkat sektor perkhidmatan ASEAN

Tingkat sektor perkhidmatan ASEAN

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) – Kemajuan dalam liberalisasi perdagangan di ASEAN yang meliputi 128 subsektor menerusi Perjanjian Rangka Kerja mengenai Perkhidmatan (AFAS), akan meningkatkan lagi sumbangan sektor perkhidmatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rantau itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sektor itu dijangkakan menambah sumbangan kepada KDNK rantau itu berbanding antara 40 dan 50 peratus pada masa ini.

“AFAS akan menjadi platform bagi penyedia perkhidmatan untuk memanfaatkan pembukaan pasaran selain memperoleh idea dan proses baharu yang muncul hasil daripada pembukaan sektor perkhidmatan,” katanya dalam ucaptama pada mesyuarat pertama Konfederasi Penyedia Perkhidmatan ASEAN di sini hari ini.

Ucapan beliau disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia Datuk Dzulkifli Mahmud.

Tahun lepas, sektor perkhidmatan ASEAN bernilai AS$2.3 trilion.

Mustapa berkata usaha sudah dilakukan untuk memuktamadkan pakej ke-10 AFAS menjelang akhir tahun bagi menyediakan peluang yang lebih luas dan baik untuk anggota meneroka manfaat sektor perkhidmatan.

Beliau berkata ini selari dengan penubuhan secara formal Komuniti Ekonomi ASEAN menjelang akhir tahun, sekali gus meningkatkan potensi pertumbuhan sektor perkhidmatan.

“Apabila dilaksanakan sepenuhnya, AEC akan melancarkan aliran perdagangan, pelaburan, modal dan tenaga pekerja merentas sempadan negara anggota,” katanya.

Sementara itu, Dzulkifli berkata dalam Bajet 2015, kerajaan memperuntukkan dana RM300 juta untuk menggalakkan penyedia perkhidmatan meluaskan perniagaan ke luar negara.

Beliau berkata insentif yang disediakan oleh Matrade menerusi dana itu, termasuk geran sehingga RM3 juta untuk kajian daya maju, RM150,000 setiap pejabat di luar negara sehingga RM150,000 bagi setiap syarikat di sebuah negara, dan pinjaman mudah dengan kadar faedah rendah oleh Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Antara perkhidmatan yang diberikan tumpuan menerusi kemudahan itu ialah ICT, baik pilih dan pembaikan, elektrik dan elektronik, perniagaan guaman dan logistik, katanya.

Dzulkifli berkata penekanan ke atas peluasan ke luar negara untuk syarikat perkhidmatan dijangka dapat membangunkan jenama yang baik untuk Malaysia sambil menambah Matrade juga mahu lebih banyak penyedia perkhidmatan muda dan berbakat meneroka pasaran ASEAN dan menjangkauinya.

ARTIKEL YANG SAMA