Tingkat semangat kesukanan

Tingkat semangat kesukanan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 2 Dis – Dalam usaha meningkatkan semangat sukan dan menambahkan kesedaran tentang cara hidup sihat melalui bersukan, Focal Point Karuak dan Pasukan RPN Panaga FC telah menganjurkan Kejohanan Futsal buat kali pertama di sini.

Kejohanan tersebut yang diadakan di Padang Futsal kawasan Jalan Puragam RPN Panaga, telah disertai sebanyak 10 buah pasukan termasuk dua pasukan daripada Sekolah Rendah Panaga dan Sekolah Rendah Lumut.

Ia diadakan bertujuan untuk mengisikan waktu terluang dengan aktiviti sihat melalui bersukan, selain untuk mengeratkan silaturahim di antara penduduk di RPN Panaga 2000, yang terdiri daripada penghuninya yang datang daripada pelbagai kampung berbeza.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memajukan dan meningkatkan mutu permainan futsal dalam kalangan peserta dan juga belia-belia di sana.

Kejohanan telah dibahagikan kepada dua kategori peserta 12 tahun ke bawah dan 15 tahun ke bawah.

Antara pasukan yang menyertai Kejohanan Futsal kali pertama diadakan di RPN Kampung Panaga 2000 sempenan cuti persekolahan.
Antara pasukan yang menyertai Kejohanan Futsal kali pertama diadakan di RPN Kampung Panaga 2000 sempenan cuti persekolahan.

Muncul juara pada kejohanan tersebut bagi kategori 12 tahun ke bawah ialah Pasukan Panaga FC Junior A, manakala di tempat kedua Pasukan Wira daripada Sekolah Rendah Panaga dan di tempat ketiga Pasukan Panaga FC Junior B.

Sementara itu, johan bagi kategori 15 tahun ke bawah dimenangi Pasukan 78 Ft, manakala di tempat kedua Pasukan TFC dan Pasukan Villa Ft di tempat ketiga.

Kejohanan juga turut memberikan hadiah kepada pemain terbaik dan penjaring terbanyak yang masing-masing telah dimenangi oleh Awang Hadif Syairazi bin Razali daripada Pasukan Lumut Youngster, Sekolah Rendah Lumut sebagai penjaring terbanyak keseluruhan, manakala Awang Syahmie Ikhwan bin Mohd Idris sebagai pemenang pemain terbaik keseluruhan merupakan pemain daripada Pasukan Panaga Junior FC A.

Pengerusi Awang Zaleha bin Lahap daripada Focal Point Keruak RPN Panaga 2000 memberitahu, kejohanan tersebut dirancang akan dijadikan aktiviti berterusan di kampung tersebut, terutama pada musim cuti-cuti penggal persekolahan.