Tingkat semangat pelajar, lebih produktif

Tingkat semangat pelajar, lebih produktif

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 17 Feb – Sebagai usaha untuk memberikan inspirasi dalam meningkatkan semangat pelajar supaya menjadi lebih produktif dan inovatif melalui penerapan konsep negara MIB, selain mendorong para pelajar untuk mencapai keputusan peperiksaan yang lebih baik, Politeknik Brunei telah menganjurkan Ceramah Motivasi dan Kerjaya bagi pelajar Sains dan Kejuruteraan yang mengambil berbagai-bagai jurusan dan kemahiran.

Kira-kira 300 orang pelajar menghadiri majlis ceramah anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Pusat Pengajian Sains dan Kejuruteraan yang berlangsung di Sekolah Sains dan Kejuruteraan Politeknik Lumut, hari ini.

Ceramah telah disampaikan oleh Ketua Unit Kaunseling di Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Abdul Ghafor.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Sekolah Sains dan Kejuruteraan Dr. Tang Shi Siong, para pensyarah dan kakitangan Politeknik Brunei.

Lebih 300 penuntut Politeknik Brunei menghadiri Majlis Ceramah Motivasi yang diadakan di Sekolah Sains dan Kejuruteraan Politeknik Lumut.
Lebih 300 penuntut Politeknik Brunei menghadiri Majlis Ceramah Motivasi yang diadakan di Sekolah Sains dan Kejuruteraan Politeknik Lumut.

Majlis juga telah diselajurkan dengan taklimat kerjaya daripada Syarikat Baker Hughes Eho Ltd yang antara lain bertujuan untuk menyiapkan para pelajar dengan kefahaman tentang pelbagai jenis kerjaya yang ditawarkan dalam Industri Minyak dan Gas yang bersesuaian serta berkaitan dengan program mereka.

Taklimat telah disampaikan oleh Pakar Penggerudian Kanan di Baker Hughes, Awang Ahmad Taufiq bin Yusof yang turut mengongsikan pengalaman kerja beliau dalam industri berkenaan termasuk semasa bekerja di negara ini dan di Timur Tengah.

Beliau turut menyatakan tentang perniagaan teras Baker Hughes, proses pengambilan dan butir-butir laluan kemajuan kerjaya di Bake Hughes bagi graduan Diploma, malah beliau juga memberikan peluang kepada pelajar menyuarakan soalan dalam sesi soal jawab.

Politeknik Brunei akan meneruskan usaha memberi motivasi kepada pelajar dengan menjemput lebih ramai penceramah dari industri untuk berkongsi pengalaman yang bertujuan untuk memberikan inspirasi kepada para pelajar.

ARTIKEL YANG SAMA