Tingkat usaha, jamin kesejahteraan diri

Tingkat usaha, jamin kesejahteraan diri

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Program PROPAZ merupakan penunaian amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada semua pihak, terutamanya bagi meningkatkan kualiti hidup untuk menjamin kesejahteraan diri dan keluarga ke arah peningkatan taraf sosio-ekonomi kehidupan ke peringkat yang lebih baik.

Perkara tersebut ditekankan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Peserta Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) kali ke-8 sesi tahun 2015/2016.

Beliau menambah, jasa dan bantuan yang telah disumbangkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Pusat Pembangunan Belia (PBB) yang telah mengunyahkan pelbagai kursus dan program yang berjaya membuat transformasi ke atas peserta-peserta PROPAZ telah menjadikan mereka insan-insan yang berguna, berkeupayaan, berakhlak, berperibadi mulia dan jati diri yang tinggi dan dinamik.

“Program PROPAZ ini merupakan penunaian amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita semua. Saya percaya dan penuh yakin, memandangkan ini merupakan kali kelapan program ini diadakan, maka sudah setentunya telah banyak membantu peserta-peserta program dalam usaha mereka meningkatkan kualiti hidup,” jelasnya lagi.

Semasa majlis tersebut, beliau juga menyentuh mengenai peningkatan keupayaan peserta, di mana perubahan yang kecil itu juga merupakan sesuatu peningkatan baik yang telah dicapai, contohnya dari segi aspek kemahiran diri, keagamaan dan ekonomi.

Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika berucap pada majlis tersebut.
Dato Paduka Haji Abdul Mokti ketika berucap pada majlis tersebut.

“Dari seorang yang tidak punya kebolehan apa-apa sehinggalah menjadi seorang yang terlatih dan mahir, dari kurang pandai membaca Al-Quran sehinggalah mereka menjadi lancar membacanya, dari tiada pengetahuan tentang keusahawanan sehinggalah celik selok-belok perniagaan dan dari tiada haluan sehinggalah menjadi seorang yang terbimbing dan mempunyai wawasan,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, setiap orang mempunyai cabaran dalam kehidupan yang kadang-kalanya seolah-olah tidak tertanggung untuk kita untuk menghadapinya, tidak kiralah mereka merupakan seseorang yang kaya ataupun mereka yang tidak berharta, mahupun seorang yang berkedudukan tinggi atau hanya orang-orang biasa sahaja.

“Semua tergantung kepada kita sendiri bagaimana untuk menanganinya serta memikirkan jalan penyelesaian untuk menghakis hambatan-hambatan kehidupan tersebut. Jalan penyelesaian itu adalah dengan hati kita sendiri yang sentiasa mensyukuri nikmat Allah dan menjaga hubungan kita denganNya.”

Beliau juga dimaklumkan bahawa kebanyakkan peserta program pada kali ini mempunyai minat dalam bidang perniagaan, pertanian dan masakan, dan oleh itu Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama menasihatkan para peserta untuk terus mendalami serta menimba ilmu dalam bidang yang mereka minati, sama ada pendidikan formal mahupun berbentuk umum.

“Pendidikan berbentuk umum boleh saja kita perolehi dengan membaca atau mendengar pengalaman-pengalaman mereka yang bergiat di dalam bidang-bidang tersebut. Sering kita mendengar dan membaca kisah kejayaan individu-individu dan peniaga-peniaga yang memulakan perniagaan mereka secara kecil-kecilan atas dasar minat yang mendalam. Saya percaya dan penuh yakin, kejayaan tersebut bukanlah sekelip mata untuk mereka perolehi dengan membaca kisah-kisah mereka yang perit dan sukar dalam menuju kejayaan.”

“Akan tetapi dengan adanya semangat yang kental dan usaha yang bersungguh-sungguh serta tanpa jemu-jemu mencari ilmu bagi meningkatkan pengetahuan dalam bidang yang mereka minati, akhirnya mereka berjaya menjadikan minat tersebut sebagai sumber pendapatan ekonomi keluarga. Inilah contoh perubahan dan kejayaan yang kita harapkan,” tambah Dato Paduka Haji Abdul Mokti lagi.

Di akhir ucapannya, beliau menasihatkan untuk melakukan sesuatu pekerjaan dengan sebaik-baiknya. “Carilah keredhaan dan keberkatan rezeki dari Allah Subhanahu Wata’ala kerana Allah sangatlah menyukai orang yang melakukan pekerjaan mereka dengan sebaik-baiknya.”

ARTIKEL YANG SAMA