Tingkat usaha ke arah kecemerlangan

Tingkat usaha ke arah kecemerlangan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Semua peringkat pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan disarankan untuk melipatgandakan usaha mereka serta akan memperkukuhkan lagi kerjasama dalam menjalankan tugas sebagai sebuah pasukan yang lebih erat dan kukuh serta mantap dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang efektif, efisien, cemerlang, berkualiti dan rawatan kepada pesakit-pesakit yang memerlukan.

Di samping itu, mereka juga diseru untuk terus berusaha supaya akan melipatgandakan program-program kesihatan yang sedia ada dan akan dilaksanakan dalam mempromosi kesihatan, gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran masyarakat supaya bersama-sama menjaga kesihatan masing-masing iaitu individu, keluarga dan masyarakat.

Seruan dan saranan itu disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof semasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kesihatan yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Dalam pada itu, kita juga menyediakan Pelan Induk, sistem dan infrastruktur kesihatan, yang mana ini kesemuanya memerlukan kerjasama dan penglibatan semua peringkat pegawai dan kakitangan.” Ulasnya lagi, “Apa yang saya harapkan ialah kita semua lebih komited dan bersama-sama untuk melaksanakan bagi merealisasikan inisiatif-inisiatif kita yang telah dikenal pasti bagi mencapai hasrat murni kita supaya pelan induk kesihatan, sistem dan infrastruktur akan menjadi kenyataan.”

Yang Berhormat Pehin dan isteri melawat ke pondok-pondok raya sihat yang disediakan.
Yang Berhormat Pehin dan isteri melawat ke pondok-pondok raya sihat yang disediakan.

Yang Berhormat Pehin turut menyatakan penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan kementerian atas khidmat bakti serta dedikasi mereka dalam menjalankan tugas masing-masing. Beliau juga menyatakan penghargaan kepada ahli-ahli keluarga para pegawai dan kakitangan warga Kementerian Kesihatan yang terus memberikan sokongan padu dan erat kepada mereka kerana tugas dan tanggungjawab para pegawai dan kakitangan itu tidak mengira waktu khususnya dalam memeduli dan memberikan rawatan kepada orang ramai yang memerlukan.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah isteri Menteri Kesihatan, Datin Paduka Hajah Salmah binti Haji Abu Hanafiah, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua pengarah, para pengarah, pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan serta ahli-ahli keluarga mereka.

Majlis itu merupakan salah satu acara tahunan Kementerian Kesihatan di mana bagi 2015, ia dikendalikan bersama oleh Bahagian Estet dan Perkembangan Projek dan Pusat Promosi Kesihatan.

Majlis itu, selain daripada meraikan Sambutan Hari Raya, juga dihasratkan untuk memberikan peluang kepada pegawai dan kakitangan kementerian untuk beramah mesra dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara mereka serta ahli-ahli keluarga mereka.

Sambutan Hari Raya bagi tahun ini juga mempertandingkan Pondok Raya Sihat di mana setiap pondok yang disediakan perlu menyediakan sajian makanan sihat mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

Sebanyak lima buah pondok hari raya disediakan oleh pihak penganjur di mana ia melibatkan penyertaan dari setiap jabatan di bawah Kementerian Kesihatan. Majlis turut diserikan lagi dengan pelbagai persembahan hiburan bertemakan Hari Raya Aidilfitri daripada jabatan-jabatan di bawah kementerian berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA