Polis, Interpol buru ‘Datuk’

Polis, Interpol buru ‘Datuk’

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini bekerjasama dengan pihak Interpol untuk mengesan lokasi lelaki bergelar ‘Datuk’ yang disyaki dalang utama pembunuhan Setiausaha PKR Miri, Bill Kayong pada Jun lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata pihaknya sedang menunggu maklumat daripada Interpol berhubung lokasi terkini Datuk berusia 45 tahun itu yang kali terakhir dikesan berada di Singapura pada 3 Julai lepas ketika lelaki itu dalam perjalanan menuju ke Australia.

“Polis masih berhubung dengan pihak Interpol bagi mengesan lokasi terkini suspek dan setakat ini, kami masih belum terima apa-apa maklumat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Ditanya sama ada polis akan mengekstradisi suspek, beliau berkata pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan berikutan lokasi suspek masih belum dikenal pasti.

Dalam perkembangan sama, Dev berkata pihaknya dalam proses membatalkan lesen tujuh senjata api yang dimiliki lelaki berkenaan.

“Kesemua senjata api milik suspek mempunyai lesen yang sah dan kami kini dalam proses untuk membatalkannya,” katanya.

Dalam satu serbuan di kediaman lelaki itu di Miri, Sarawak Khamis lepas (24 Ogos), polis menemukan dan merampas tujuh senjata api dan lebih 600 butir peluru.

Dua pistol yang dirampas itu dimiliki lelaki berkenaan untuk keselamatan diri dan lesen dikeluarkan oleh polis, manakala lima senapang patah untuk digunakan oleh polis bantuan dengan lesen dikeluarkan oleh Pejabat Daerah Miri. Senjata api yang dirampas adalah sepucuk pistol jenama Glock, sepucuk rifle jenama Ruger Ranch Rifle .223 dan lima senapang patah.

Peluru yang dirampas termasuklah 416 butir peluru pistol, 206 peluru senapang patah dan sebutir peluru GFL 9MM Luger.

Kayong, 43, atau nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah, ditembak mati dalam Toyota Hilux kira-kira 8.30 pagi pada 21 Jun, di persimpangan lampu isyarat di Lutong dekat pasar raya E-Mart di Jalan Miri-Bintulu. – Bernama