Tingkat usaha kumpul maklumat risikan

Tingkat usaha kumpul maklumat risikan

KOTA KINABALU, 22 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kontinjen Sabah diminta meningkatkan usaha mengumpul maklumat risikan berkualiti bagi menghalang aktiviti jenayah, termasuk kes penculikan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata fokus diberi kepada pengumpulan maklumat risikan agar tindakan proaktif dapat diambil bagi menghalang pencerobohan luar ke negara ini.

“Kita telah memanggil semua ketua polis daerah di ESSZone dan telah menerangkan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil di kawasan masing-masing.

“Kita juga akan memberi fokus kepada koordinasi terbaik dengan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dan Pasukan Gerakan Am,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan operasi PDRM dan ESSCom di sini hari ini.

Noor Rashid juga berkata arahan perintah berkurung di ESSZone akan diteruskan.

Ditanya mengenai perkembangan kes penculikan lima kru sebuah bot tunda di perairan Dent Haven, Tambisan di Lahad Datu pada 18 Julai lepas, beliau berkata polis belum menerima maklumat dan masih menyiasat kes itu.

Beliau juga berkata polis akan meneliti semula dan menambah baik sistem atur gerak dan cara polis bekerja bagi memastikan tiada insiden penculikan siang hari.

Ini susulan kes culik bersenjata membabitkan juragan sebuah bot tunda warga Indonesia di Kertam dekat Kuala Kinabatang, Sandakan pada siang hari 3 Ogos lepas, katanya.

Beliau turut menjelaskan insiden penculikan itu tidak dirancang seperti yang didakwa berikutan tuntutan wang tebusan dipercayai melibatkan jumlah yang kecil berbanding jutaan ringgit dalam kes culik sebelum ini.

“Siasatan tidak menunjukkan penculikan itu dirancang. Tetapi tuntutan wang tidak ada,” katanya. – Bernama