Tingkat usaha tangani ancaman siber

Tingkat usaha tangani ancaman siber

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Negara-negara anggota ASEAN akan terus menerokai pelbagai kaedah untuk menangani ancaman serius daripada penjenayah siber yang dihadapi oleh kerajaan-kerajaan ASEAN dengan mengukuhkan lagi pertahanan serta kerjasama di antara negara-negara anggota untuk menangani ancaman bersama itu.

Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad berkata, ASEAN merupakan antara rantau yang dinamik dan pelbagai di dunia serta telah menyaksikan penduduk Internetnya meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dengan lebih 250 juta pengguna Internet aktif serta mempunyai kadar penembusan Internet serantau kira-kira 40 peratus yang diterajui sebahagian besarnya oleh penggunaan jalur lebar tanpa wayar. Beliau berkata demikian semasa berucap mempengerusikan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Telekomunikasi dan IT ASEAN ke-17 (TELSOM) yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

Menurut Haji Azhar, negara-negara anggota ASEAN mengenal pasti bahawa ICT telah membantu untuk mempromosikan usaha integrasi serantau dan telah berjaya untuk merapatkan lagi negara-negara anggota.

Di sebalik kejayaan yang harus dibanggakan itu, katanya, masih terdapat banyak kerja perlu dilakukan untuk benar-benar mencapai matlamat ASEAN untuk menjadi sebuah komuniti ASEAN yang saling berhubungan dan inovatif.

Selaras dengan tema mesyuarat, ‘Connected, Innovative Community,’ Haji Azhar percaya bahawa usaha-usaha bagi menyokong dan meningkatkan lagi promosi inovasi serta kreativiti adalah amat penting untuk mencapai sebuah ekonomi digital yang saling berhubungan dan saling boleh beroperasi.

Haji Azhar menyampaikan kata alu-aluannya di mesyuarat berkenaan.
Haji Azhar menyampaikan kata alu-aluannya di mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata, ICT merupakan di antara alat asas yang boleh digunakan bagi mengukuhkan lagi ASEAN dengan memudahkan komunikasi, pertukaran idea dan mengukuhkan hubungan dua hala di antara penduduk negara-negara anggota ASEAN.

Sehubungan itu, beliau berharap mesyuarat tersebut akan membuahkan hasil yang dihasratkan dalam menyokong usaha integrasi serantau Komuniti ASEAN menerusi penggunaan ICT.

Mesyuarat TELSOM ke-17 dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari negara-negara anggota ASEAN. Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai pelan tindakan 2017 yang akan menggariskan projek serta inisiatif penting bagi teras strategik utama Pelan Induk ICT ASEAN 2020 (AIM 2020) bagi 2017.

AIM 2020 merupakan garis panduan bagi pemimpin ICT dan pengamal ICT untuk mengongsi ilmu pengetahuan serta mengetengahkan potensi masing-masing kepada ASEAN.

Agensi-agensi yang berkenaan dan pemain-pemain ICT diseru untuk menggunakan AIM 2020 sebagai batu loncatan bagi menggunakan trend dan inovasi dalam ICT. Mesyuarat TELSOM ke-17 dan mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin hingga esok.

ARTIKEL YANG SAMA