Tingkat waspa...

Tingkat waspada semasa cuti persekolahan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Mac – Sempena musim cuti persekolahan ini, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) mengeluarkan peringatan menasihatkan orang ramai agar berwaspada dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang bersesuaian.

Ketua Unit Perhubungan Awam PDB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, orang ramai perlu lebih berjaga-jaga dan meningkatkan lagi langkah-langkah keselamatan terutama semasa hendak meninggalkan rumah.

Mereka juga dinasihatkan untuk memaklumkan kepada penghulu dan ketua kampung bagi sama-sama memata-matai dan mengelakkan kejadian pecah rumah berlaku di rumah yang tidak berpenghuni serta memastikan semua pagar, pintu dan jendela hendaklah sentiasa tertutup dan berkunci dengan kunci yang kukuh.

Pihak PDB juga menasihatkan orang ramai untuk memaklumkan tarikh pemergian mereka kepada mana-mana balai-balai polis yang berdekatan bagi tujuan pemantauan dan rondaan semasa rumah tersebut ditinggalkan.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membiarkan barang-barang berharga ditinggalkan di luar kawasan rumah yang boleh menjadi daya tarikan kepada penjenayah. Segala wang, barang-barang kemas dan barangan bernilai hendaklah disimpan di tempat-tempat yang difikirkan selamat dan tidak mudah diketahui.

Mereka yang berhasrat hendak keluar negara dinasihatkan supaya memaklumkan kepada keluarga terdekat atau jiran berhampiran untuk memata-matai rumah dan sekitar kawasan luar rumah.

Manakala lampu di luar rumah seboleh-bolehnya hendaklah dinyalakan pada waktu malam terutama di tempat-tempat yang senang dilihat.

Kenyataan tersebut turut mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka dan jangan membiarkan anak mereka balik lewat malam dan memastikan mereka tidak berkumpul di kawasan-kawasan awam atau melepak sepanjang malam serta terlibat dengan aktiviti jenayah dan aktiviti sosial yang tidak sihat.

Aktiviti kanak-kanak hendaklah sentiasa diambil perhatian yang tegas dan diikuti dari semasa ke semasa terutama bagi mereka yang selalu melayari Internet kerana dikhuatiri akan melayari laman-laman sesawang yang berunsur negatif yang akan melibatkan mereka kepada aktiviti kurang sihat dan masalah sosial.

Orang ramai juga diseru untuk memaklumkan dengan segera kepada pihak polis atau pihak-pihak berkenaan seperti penghulu atau ketua kampung, jika berlaku apa-apa juga perkara yang dilihat mencurigakan supaya tindakan seterusnya dapat ditangani oleh pihak berkenaan.

Dalam pada itu juga, semasa hendak meninggalkan kereta untuk ke kedai atau meninggalkan kereta untuk seketika, perlulah dipastikan enjin kereta dimatikan dan dikunci bagi mengelakkan kereta dicuri.

Sehubungan itu, PDB menggesa orang ramai supaya melaporkan dengan segera kepada talian kecemasan 993 atau menghubungi balai-balai polis yang berdekatan dalam menangani jenayah yang mungkin akan berlaku terhadap keluarga mereka, jiran dan orang lain.