Tingkat waspada semasa musim hujan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 12 Sept – Beberapa batang jalan di pedalaman Daerah Tutong telah terjejas akibat banjir, berikutan dengan kejadian hujan yang berterusan sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Beberapa kawasan jalan di Mukim Rambai telah dikenal pasti sebagai kawasan yang terjejas dalam kejadian banjir petang tadi ialah Jalan Keranching Benutan, Jalan Benutan, Jalan Bengkuru dan Jalan Kuala Ungar/Rambai.

Mengikut laporan pemantauan air banjir di Daerah Tutong dari Balai Bomba Lamunin petang tadi, pemantauan paras air di Jalan Keranching Benutan tidak dapat dijalankan. Manakala di Jalan Bangkuru dan Jalan Benutan, keadaan paras air mencecah 1 meter, yang mana jalan tersebut hanya dapat dilalui oleh kenderaan jenis trak.

Sementara itu, di Jalan Kuala Ungar/Rambai paras air mencecah 0.37 meter yang mana jalan tersebut tidak dapat dilalui oleh kenderaan jenis salon.

Memandang keadaan hujan masih turun secara berterusan, Pasukan Bomba dan Penyelamat menasihati kepada penduduk-penduduk kampung yang tinggal di pedalaman khususnya di kawasan rendah yang mudah dilanda banjir supaya akan terus bersiap siaga dan bersedia berikutan banjir kilat dan paras air didapati meningkat daripada biasa.

Beberapa tempat di Mukim Rambai telah dilanda banjir berikutan hujan yang berterusan sejak kebelakangan ini.

Jawatankuasa Pusat Pengurusan Bencana Daerah Tutong (DDMC) sentiasa memantau paras air di beberapa kawasan yang terjejas dengan bantuan pihak Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Lamunin dengan kerjasama penghulu dan ketua kampung serta mempersiapkan semua pihak dalam keadaan berjaga-jaga.

Mereka juga ingin mengambil kesempatan untuk menasihatkan kepada penduduk kampung serta orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan harta benda khususnya dokumen-dokumen penting untuk disimpan di kawasan yang tinggi dan selamat.

Selain itu, orang ramai juga diharapkan agar sama-sama menjaga kesejahteraan ahli keluarga masing-masing dan mengelakkan daripada melakukan aktiviti-aktiviti luar seperti berenang atau bermandi-manda di kawasan banjir demi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Jika terdapat sebarang kecemasan atau keperluan bantuan, orang ramai bolehlah menghubungi talian kecemasan bomba di talian 115 bagi tindakan selanjutnya bersama agensi-agensi yang berkaitan.