Tingkatkan celik kewangan

Tingkatkan celik kewangan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Hasil daripada kajian yang dibuat oleh Pusat Pengajian Strategik dan Polisi (CSPS) menunjukkan, antara sebab utama sebahagian besar responden tidak mempunyai simpanan aktif kerana perbelanjaan mereka melebihi pendapatan yang mereka perolehi.

Selain itu, kajian turut mendapati bahawa 60 peratus daripada responden tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan lebih daripada dua bulan jika mereka kehilangan sumber pendapatan.

“Mengikut dapatan CSPS juga, secara amnya sebahagian masyarakat tidak mempunyai kemahiran asas mengira dan tidak memahami mekanisme perkiraan berfaedah. Indikasi ini menggambarkan tahap kemahiran yang rendah di kalangan mereka yang memberi kesan kepada kebolehan boros kewangan masing-masing.”

Oleh itu, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman menyeru agensi-agensi kerajaan bekerjasama dalam usaha untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan orang ramai.

Yang Berhormat Pehin yang juga selaku Timbalan Pengerusi Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) menekankan perkara ini ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah bin Haji Mohd Jaafar mengenai dengan faktor yang menyebabkan orang tidak mempunyai penyimpanan aktif dan bagaimana cara untuk menanganinya.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.

Menurut beliau lagi, kajian CSPS juga menunjukkan bahawa responden telah mempunyai sikap yang positif dalam menyambut baik perancangan kewangan bagi masa hadapan akan tetapi mereka tidak mempraktikkannya di mana lebih 40 peratus responden tidak mencapai markah yang memuaskan dalam merancang kewangan mereka.

Sehubungan dengan itu, jelas beliau, antara langkah dalam mengatasi isu tersebut adalah, AMBD telah mengeluarkan notis peraturan mengenai dengan nisbah keseluruhan khidmat hutang (TDSR) yang berkuat kuasa mulai 8 Jun 2015 dengan tujuan untuk memastikan peminjam mempunyai baki gaji atau pendapatan yang mencukupi dengan mengehadkan jumlah pembayaran balik hutang bulanan peminjam.

Katanya, hasil daripada penelitian AMBD sejak perlaksanaan TDSR, ia telah menunjukkan impak yang positif dan sejak pengenalan ‘consolidation loan’ sebanyak 95 peratus daripada 5,318 pemohon telah berjaya mengurangkan beban hutang mereka ke tahap tidak melebihi 60 peratus daripada pendapatan.

Manakala itu, daripada segi penunjuk ‘non-performing loan’ (NPL) bagi sektor isi rumah pula telah menunjukkan penurunan daripada 2.3 peratus pada bulan Disember 2014 kepada 1.8 peratus pada bulan Disember 2015.

Di samping itu, Yang Berhormat Pehin menyarankan agar pihak perbankan dan kewangan untuk mengamalkan sikap ‘responsible lending’ dalam memberikan perkhidmatan pembiayaan kepada orang ramai dalam sama-sama mendokong perlaksanaan pengurusan kewangan yang berhemah.

Menurut beliau lagi, kadar inflasi di negara ini adalah di tahap yang rendah dan terkawal. Selain itu juga, pihak Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) sedang menjalankan Kajian Perbelanjaan Keluarga 2015/2015 bagi memantau perkembangan terkini.

Sementara itu, dalam menjawab yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Hajah Salbiah binti Haji Sulaiman mengenai usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mendapatkan sumber kewangan, Yang Berhormat Pehin berkata, AMBD sentiasa mendokong usaha dan inisiatif agensi-agensi kerajaan dalam mengembang majukan PKS yang selaras dengan objektif AMBD.

Sehubungan dengan itu, pihak AMBD telah mengeluarkan notis pengawalan kadar pembiayaan maksima sebanyak lapan peratus dalam membantu PKS untuk membuat pembiayaan pada kadar yang berpatutan.

Di samping itu, pihak-pihak kerajaan juga telah pun menyediakan skim-skim pinjaman seperti Enterprise Facilitation Scheme (EFS) dan Micro Credit Financing Scheme (MFS).

ARTIKEL YANG SAMA