Tingkatkan daya tahan ekonomi

Tingkatkan daya tahan ekonomi

Gambar Infofoto

 

MANILA, Republik Filipina, 19 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, menyeru negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) untuk sama-sama meningkatkan daya tahan ekonomi dalam keadaan ekonomi global yang tidak seimbang pemulihannya ketika ini. Kemajuan ekonomi yang kukuh pastinya akan dapat membantu meluaskan peluang kepada masyarakat, meningkatkan taraf hidup dan membawa kepada pertumbuhan yang inklusif.

Baginda Sultan menekankan perkara itu dalam titah Sesi Retreat Pertama Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC 2015 dengan tajuk Pertumbuhan Inklusif Melalui Ekonomi Bersepadu yang berlangsung di Bilik Mesyuarat 1, Pusat Persidangan Antarabangsa Filipina (PICC).

Baginda Sultan seterusnya melahirkan rasa gembira menyokong APEC Strategy for Strengthening Quality Growth yang dapat bertindak sebagai panduan strategik APEC untuk mengukuhkan pertumbuhan berkualiti dan secara kolektif.

Titah Baginda lagi, reformasi struktur akan dapat membantu cara kerajaan negara APEC berfungsi dan meningkatkan daya saing ekonomi. Baginda turut mengalu-alukan pertukaran amalan-amalan terbaik dan pembinaan kapasiti yang disasarkan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya mengalu-alukan hasil Mesyuarat Menteri Kewangan APEC yang mana akan menyumbang kepada pertumbuhan di rantau ini. Baginda juga bertitah, pertumbuhan akan membantu mengurangkan perbezaan di antara masyarakat, mewujudkan pekerjaan dan memberikan prospek yang lebih baik kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Baginda Sultan bertitah semasa Sesi Retreat Pertama Mesyuarat Ketua-ketua APEC di PICC, Manila.
Baginda Sultan bertitah semasa Sesi Retreat Pertama Mesyuarat Ketua-ketua APEC di PICC, Manila.

pg01_151120_APEC2015logo

pg04_151120_a

pg04_151120_b

Baginda Sultan berkenan berangkat menghadiri Sesi Retreat Pertama Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC (AELM) 2015.
Baginda Sultan berkenan berangkat menghadiri Sesi Retreat Pertama Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC (AELM) 2015.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan ‘Boracay Action Agenda to Globalise MSMEs’ dan ‘APEC Services Cooperation Framework’ adalah cara praktikal dalam membantu syarikat kecil untuk mempunyai akses kepada kewangan, menyumbang kepada rantaian nilai global dan mendapat manfaat daripada FTAs/RTAs.

Baginda percaya perjanjian serantau termasuklah TPP, Regional Comprehensive Economic Partnership dan Pacific Alliance, akan menjadi laluan yang baik ke arah merealisasikan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pacific.

Adalah penting bagi Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik ini berkualiti tinggi, digunakan sepenuhnya, dan mengambil kira bagaimana rantaian nilai global beroperasi. Baginda seterusnya mengalu-alukan laporan akhir pada tahun hadapan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menghargai sokongan APEC dalam memacu pertumbuhan serantau, khususnya dalam senarai APEC 2012 List of Environmental Goods yang mana Brunei telah melaksanakan usaha tersebut dengan sepenuhnya dan merakamkan sokongan kepada ‘Stand-alone Statement on WTO’ dan menegaskan lagi janji menentang semua bentuk perlindungan sehingga akhir tahun 2018.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian merakamkan pujian kepada APEC atas kepimpinan dalam usaha WTO yang sedang berlangsung, dan menyumbang ke arah pencapaian dan hasil yang bermakna di Persidangan Peringkat Menteri ke-10 di Nairobi.

Akhir sekali, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah bahawa dengan adanya lebih banyak hubungan di dalam APEC, ia akan membuka sumber pertumbuhan yang baru dan memajukan semangat kemasyarakatan di rantau Asia-Pasifik.

Setelah selesai Sesi Retreat Pertama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan berangkat beredar ke Majlis Santap Tengah Hari yang diadakan di Summit Hall, Pusat Persidangan Antarabangsa Filipina bersama-sama dengan ketua-ketua ekonomi APEC yang lain.

Kebawah Duli yang Maha Mulia dan ketua-ketua ekonomi yang lain juga berkenan bergambar ramai.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua) Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua) Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng, Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri
Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina, Puan Yang Terutama Datin Paduka Malai Hajah Halimah binti Malai Haji Yussof.

ARTIKEL YANG SAMA