Tingkatkan kelayakan profesional

Tingkatkan kelayakan profesional

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Sept – Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) melalui Perintah Kawalan Bangunan (BCO) menetapkan bahawa ia hanya akan menerima pelan-pelan yang dihadapkan oleh orang berkelayakan sahaja dalam usahanya menjamin keselamatan dan kesihatan orang ramai melalui kawalan kemajuan pembangunan.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah menekankan sekali lagi perkara itu dalam ucapannya yang dibacakan oleh wakil peribadi, Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Dato Paduka Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny pada Majlis Jamuan Tahunan Pertubuhan Ukur Jurutera dan Arkitek (PUJA) di Hotel Parkview, malam semalam yang dihadiri rakan-rakan PUJA terdiri daripada pelajar, rakan sekutu dan ahli korporat.

Menurut Yang Berhormat Dato, penguatkuasaan mulai 1 Oktober 2016 nanti hanya akan melayakkan orang yang dirujuk dalam BCO sebagai berdaftar di bawah Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Kuantiti (BAPEQS).

Untuk itu, bukan profesional seperti tukang pelan atau tukang lukis yang didaftarkan di bawah pentadbiran di Kementerian Pembangunan semenjak 1996, tidak lagi boleh menghadapkan pelan kecuali mereka berdaftar dengan BAPEQS.

Maka di sini, PUJA boleh membantu kumpulan ini untuk mendapatkan kelayakan profesional untuk mempraktikkannya. Ini sejajar dengan objektif penubuhan PUJA Brunei yang mempromosi, menyemai dan memajukan juruukur, jurutera dan arkitek profesional, tambah Yang Berhormat Dato.

Dato Paduka Eddie selaku wakil menerima hadiah cenderahati daripada Presiden PUJA, Awang Mohd Nazri bin Mohd Yusof.
Dato Paduka Eddie selaku wakil menerima hadiah cenderahati daripada Presiden PUJA, Awang Mohd Nazri bin Mohd Yusof.

“Kelayakan profesional juga adalah bidang di mana PUJA dan BAPEQS boleh bekerjasama untuk memastikan tahap kecekapan profesional binaan di Negara Brunei Darussalam. PUJA dan BAPEQS perlu jelas dalam peranan masing-masing secara lebih menyeluruh lagi; BAPEQS boleh menumpukan peranan pengawal aturnya jika PUJA boleh melaksanakan latihan dan pemeriksaannya sendiri yang membawa kepada kelayakan profesional diiktiraf sekurang-kurangnya oleh rakan kongsi antarabangsa yang bereputasi.

“Ini tidak mustahil memandangkan PUJA sudah pun mempunyai tanda aras kelayakan bagi keahlian, kerjasama dengan institusi dan organisasi antarabangsa profesional serta diiktiraf. Selepas 32 tahun penubuhannya, saya percaya masanya sudah tiba untuk PUJA melaksanakannya dengan segera,” tekan Yang Berhormat Dato.

Makan Malam Tahunan PUJA juga diisi dengan sesi forum oleh profesional PUJA dengan tajuk, “Cabaran Hari ini, Peluang dan Pembangunan Mapan Masa Depan,” yang membincangkan langkah-langkah yang diambil untuk menangani kemerosotan ekonomi dan banyak lagi.