Tingkatkan kemahiran bacaan Dikir Syarafil Anam

Tingkatkan kemahiran bacaan Dikir Syarafil Anam

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 31 Jan – Sebagai usaha untuk meningkatkan lagi mutu bacaan Dikir Syarafil Anam dari segi fasahah, lagu dan keseimbangan suara, Jawatankuasa Takmir Masjid Pekan Seria telah menganjurkan Pertandingan Dikir Syarafil Anam, berlangsung di Masjid Pekan Seria malam tadi.

Pertandingan yang dianjurkan bersama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait itu dibukakan untuk penyertaan ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid, para jemaah, Muslimah dan belia-belia masjid di Daerah Belait.

Penganjurannya juga sebagai salah satu aktiviti tahunan yang dikendalikan bersama oleh masjid-masjid seluruh Daerah Belait, dan juga bagi melahirkan individu mahupun kumpulan dikir serta bagi menggalakkan lebih ramai rakyat dan penduduk mempelajari dan menguasai bacaan lagu dikir dan seterusnya dapat menyampaikan hajat masyarakat awam khususnya bagi menyerikan acara atau majlis keagamaan di samping dapat mengeratkan lagi tali silaturahim dalam kalangan penduduk di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, Awang Haji Haslan bin Haji Shahbudin.

Peserta daripada kumpulan lelaki semasa mempertandingkan persembahan Dikir Syarafil Anam pada pertandingan tersebut.
Peserta daripada kumpulan lelaki semasa mempertandingkan persembahan Dikir Syarafil Anam pada pertandingan tersebut.

Pertandingan yang dipengerusikan oleh Imam Masjid Pekan Seria, Awang Mohd Zulhilmi bin Mohd Jefri, itu telah dibahagikan kepada dua bahagian, lelaki dan perempuan dengan sudut penghakiman dikira dari segi lagu, fasahah dan suara.

Tempat pertama pertandingan bagi bahagian lelaki dimenangi oleh wakil Masjid Muhammad Jamalul Alam Kuala Belait, diikuti oleh wakil Masjid Kampung Sungai Liang Belait di tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh wakil Masjid RPN Kampung Pandan Kuala Belait.

Sementara, kategori perempuan pula dijuarai oleh wakil dari Masjid Muhammad Jamalul Alam Belait, manakala itu tempat kedua dan ketiga, masing-masing dimenangi oleh wakil Masjid Pekan seria dan Masjid Zainab Kampung Lumut, Seria.

ARTIKEL YANG SAMA