Tingkatkan kerjasama dengan negara bukan Islam tangani Islamophobia

Tingkatkan kerjasama dengan negara bukan Islam tangani Islamophobia

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Malaysia meminta negara Islam mengambil langkah lebih proaktif dalam menangani masalah Islamophobia yang dihadapi oleh dunia pada masa kini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pada masa sama, negara Islam juga perlu meningkatkan kerjasama dengan negara bukan Islam bagi membetulkan persepsi salah negara itu terhadap Islam.

Bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya yang julung kali diadakan di sini, hari ini, beliau berkata negara bukan Islam mempunyai persepsi salah terhadap Islam disebabkan kelakuan sebilangan kecil orang Islam.

“Perbuatan segelintir yang menyalahtafsirkan Islam telah menyebabkan Islam itu tercalar,” katanya.

Timbalan perdana menteri berkata pemahaman dan kerjasama antarabangsa untuk memahami makna ajaran Islam harus diberi perhatian agar tidak berlaku lagi salah tanggapan terhadap Islam.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Menteri Imigresen dan Sempadan Australia Peter Dutton (kiri) setibanya untuk merasmikan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Menteri Imigresen dan Sempadan Australia Peter Dutton (kiri) setibanya untuk merasmikan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) kelmarin. – Bernama

Sebagai contoh, kata Ahmad Zahid, Malaysia telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak penguat kuasa China berhubung cara mengatasi Islamophobia di negara itu.

Beliau berkata Australia juga pernah menyuarakan hasrat untuk belajar daripada Malaysia tentang pendekatan yang digunakan berkaitan pemulihan terhadap golongan yang menjadi radikal.

Di dalam negara pula, katanya, Malaysia mewujudkan kerjasama rapat di kalangan agensi penguatkuasaan seperti polis, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam di samping Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), untuk memerangi keganasan.

Katanya Kementerian Dalam Negeri juga mempunyai panel khas untuk melakukan pemulihan terhadap mereka yang diradikalkan, terdiri daripada polis, JAKIM, pakar psikologi dan ulamak bagi membetulkan kembali akidah mereka.

Panel itu telah lama diwujudkan dan bukan baru selepas kumpulan militan IS mula masuk ke negara ini, tegas beliau.

Beliau berkata sebelum ini kerajaan Malaysia menghadapi masalah hampir sama dengan kumpulan berbentuk radikal dan militan seperti kumpulan Al-Maunah serta kumpulan pengikut ajaran sesat di Memali.– Bernama