Tingkatkan kerjasama perisikan antara agensi keselamatan

Tingkatkan kerjasama perisikan antara agensi keselamatan

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Kerjasama dalam aspek perisikan antara agensi keselamatan yang terlibat menjaga perairan negara perlu dipertingkatkan sebagai langkah mengawasi kemungkinan ancaman militan terutamanya kumpulan Daesh.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata semua agensi yang bertanggungjawab perlu saling berkongsi maklumat hasil perisikan sekiranya mengesan sebarang pencerobohan yang mencurigakan di kawasan perairan.

“Agensi lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sering berkongsi maklumat berkenaan ancaman yang dikesan di kawasan perairan jagaan masing-masing.

“Kerjasama seumpama ini (jika ditingkatkan) akan dapat membanteras pencerobohan aktiviti pengganas yang semakin membimbangkan,” kata beliau dalam sidang media di Kementerian Pertahanan di sini, hari ini.

Beliau berkata kerjasama agensi berkaitan dalam aspek rondaan di kawasan perairan negara juga perlu dilaksanakan secara lebih bersepadu.

Mengenai keselamatan di perairan Sabah, Ahmad Kamarulzaman berkata sembilan buah kapal operasi ditempatkan bagi memperketat kawalan sempadan perairan negara daripada ancaman pengganas yang semakin membimbangkan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA