Tingkatkan kesedaran belia terhadap kepentingan alam sekitar

Tingkatkan kesedaran belia terhadap kepentingan alam sekitar

Oleh Aziz Adanan (BPY 42)

 

BANDAR SERI BEGAWAN – Kem Kewaspadaan Alam Sekitar telah diadakan di Taman Agri Katimahar, baru-baru ini. Ia merupakan salah satu projek yang telah diungkayahkankan oleh bekas para peserta Kapal Belia Jepun dan Asia Tenggara ke-42.

Ia merupakan perkhemahan yang dilaksanakan selama tiga hari dan dua malam yang disertai oleh 41 orang peserta.

Tujuan utama perkhemahan ini adalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mengenai risiko bencana alam dan memberi kesedaran dan pengetahuan kepada para belia mengenai pengendalian ketika ataupun selepas berlakunya bencana alam.

Tidak ramai yang tahu mengenai dengan risiko dan pengendalian bencana alam di negara ini, semuanya hanya diketahui melalui maklumat yang tersiar di media massa.

Justeru itu, projek ini adalah satu inisiatif yang diusahakan agar ianya dapat memberi pengetahuan dan kebaikan buat masyarakat Negara Brunei Darusslam.

Para peserta belia perkhemahan bergambar ramai bersama tetamu kehormat, tetamu jemputan dan para penaja.
Para peserta belia perkhemahan bergambar ramai bersama tetamu kehormat, tetamu jemputan dan para penaja.
Dayang Siti Nur Zaidah bersama dengan tetamu kehormat, Awang Abdul Rahim menuju ketapak penanaman pokok.
Dayang Siti Nur Zaidah bersama dengan tetamu kehormat, Awang Abdul Rahim menuju ketapak penanaman pokok.

Aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang perkhemahan adalah untuk memupuk persahabatan, meningkatkan kepimpinan dan sifat kerjasama di antara para peserta dan juga memberi peluang kepada para peserta untuk merasai hidup di dalam suasana alam semula jadi agar mereka lebih menghargai alam persekitaran dan mula membudayakan sikap 3R iaitu Reuse (penggunaan semula), Reduce (pengurangan pembuangan sampah) dan Recycle (kitar semula).

Perkhemahan ini bukan sahaja menyediakan aktiviti-aktiviti lasak buat para peserta seperti Rally Race dan Amazing Race, malahan juga aktiviti-aktiviti interaktif yang meningkatkan pengetahuan buat peserta di mana para peserta juga mendengar taklimat-taklimat yang telah diberikan oleh kakitangan-kakitangan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRE), Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Dengan ini, ianya diharap dapat meningkatkan ilmu pengetahuan para peserta, di samping memberi peluang untuk melakukan sesi perbincangan mengenai dengan topik- topik berkaitan dengan alam sekitar dan bencana alam.

Majlis penutup bagi perkhemahan ini telah dihadiri oleh tetamu kehormat, Pemangku Pengarah Pusat Bencana Kebangsaan Brunei, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Abdul Rahim bin Haji Ismail.

Tetamu kehormat turut menyampaikan sijil kepada para peserta dan pihak penaja seperti Taman Agri MPK Katimahar, Sotorindu Restaurant and Catering, Perusahaan AisBreadCream Sdn Bhd, IT Protective Security Services Sdn Bhd dan Heart Foundations.

Setelah itu, Ketua Ahli Jawatankuasa Projek Kem Kewaspadaan Alam Sekitar, Dayang Siti Nurzaidah @ Salwa binti Zainal menjemput tetamu kehormat, Awang Abdul Rahim, Ketua Taman Agri MPK Katimahar, Haji Zainal bin Haji Safar ke upacara penanaman pokok sebagai tanda berakhirnya aktiviti perkhemahan.

Para peserta turut menyertai acara penanaman pokok tersebut sebagai tanda simbolik usaha untuk menjaga alam sekitar dan para belia agar bersedia untuk menjadi penyelamat kepada alam sekitar, kerana dengan menjaga alam sekitar, kita akan menikmati kehidupan yang sihat untuk generasi kini dan juga yang akan datang.