Tingkatkan kewaspadaan di Lebuh Raya Telisai-Lumut

Tingkatkan kewaspadaan di Lebuh Raya Telisai-Lumut

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 1 Julai – Orang ramai terutamanya pengguna jalan raya di kawasan Lebuh Raya Telisai-Lumut dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan sentiasa mengurangkan had kelajuan, terutama sekali di kawasan pusingan U di jalan berkenaan.

Setiausaha Tetap (Teknikal dan Professional) di Kementerian Pembangunan, Awang Eddie bin Dato Paduka Haji Sunny menekankan bahawa salah satu kawasan pusingan U tertentu di jalan lebuh raya baru itu memang agak bahaya kerana kurang jelas kelihatan kenderaan yang datang dari hala bertentangan.

Bagaimanapun, beliau yang ditemui media selepas Upacara Pengibaran Bendera Negara Brunei Darussalam bagi Daerah Belait pagi tadi menyatakan bahawa lebih banyak usaha untuk meningkatkan pembaikan dari segi keselamatan di kawasan jalan berkenaan akan dilakukan dengan pantas, terutama sekali setelah berlakunya beberapa kejadian kemalangan di sana sejak ia dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 28 Jun lalu.

Menurutnya, pihak mereka akan melihat kepada penyelesaian yang pantas, dan akan melibatkan konsultan pembinaan jalan berkenaan, selain menasihatkan orang ramai supaya akan membuat aduan melalui talian 123 atau memberikan sebarang pandangan menerusi media sosial kementerian tersebut dan mereka bersedia menerima pandangan yang boleh membantu keselamatan bersama.

“Aduan orang ramai mengenai pusingan U, sejauh tiga kilometer yang agak jauh itu, memang diambil maklum oleh pihak kami, dan sebenarnya sebelum jalan berkenaan dibukakan kepada orang ramai rombongan Jawatankuasa Keselamatan Jalan Raya sudah memeriksa keadaan di sana dan terpaksa membuat penutupan beberapa kawasan pusingan U demi keselamatan, tetapi dengan penutupan tersebut menyebabkan semakin jauh pengguna jalan untuk membuat pusingan ke destinasi masing-masing,” katanya.

Sebuah kereta terbakar dalam satu kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 8 malam kelmarin di kawasan Lebuh Raya Telisai.
Sebuah kereta terbakar dalam satu kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 8 malam kelmarin di kawasan Lebuh Raya Telisai.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan bahawa kawasan itu merupakan kawasan hutan, dan binatang-binatang liar juga belum terbiasa keadaan di sana setelah menjadi kegunaan ramai, dan banyak dalam kalangan pengguna mengadu pernah melihat binatang-binatang liar seperti babi hutan, kucing hutan dan sebagainya, terutama pada waktu malam.

“Sehubungan dengan itu, saya menyeru supaya pengguna-pengguna lebuh raya baru itu untuk lebih berhati-hati, dan sentiasa mengurangkan had kelajuan memandu, kerana mereka belum terbiasa dengan keadaan jalan di sana, terutama sekali di salah satu pusingan U yang terdapat sedikit anak bukit yang boleh menyebabkan pengguna yang berada di kawasan pusing U tidak nampak kenderaan yang datang,” ujarnya.

Lebuh Raya Telisai-Lumut sepanjang 18.6 kilometer yang dibuka bagi kegunaan orang ramai telah melengkapkan sepenuhnya rangkaian lebuh raya dari Pekan Muara ke Kuala Belait.

Dengan menelan belanja sebanyak $168 juta, ia merupakan lebuh raya berkembar yang menghubungkan Telisai dan Lumut, dibina dengan hasrat akan meningkatkan hubungan antara Bandar Seri Begawan dan Daerah Belait serta mengurangkan kesesakan di jalan Lumut yang sedia ada terutama semasa waktu pagi atau lewat petang.

Projek pembinaan jalan itu juga dihasratkan dapat meningkatkan lagi keselamatan jalan raya khususnya bagi pengguna jalan raya serta menyediakan hubungan jalan berkembar di antara Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong dan Daerah Belait.

Dua kejadian kemalangan telah dilaporkan sejak lebuh raya itu mula dibuka dengan yang terkini berlaku malam tadi, di mana dua buah kereta bertembung menyebabkan salah sebuah daripadanya terbakar.

Semasa pembukaan lebuh raya, pihak Darussalam Enterprise (DARe) menyatakan, sebagai usaha untuk meningkatkan keselamatan, langkah-langkah keselamatan tambahan telah dilaksanakan sebelum pembukaan jalan, berdasarkan kepada pemeriksaan yang dilakukan oleh Majlis Keselamatan Lalu Lintas Kebangsaan Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA