Tingkatkan kewaspadaan di musim perayaan

Tingkatkan kewaspadaan di musim perayaan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Dalam kesibukan umat Islam membuat persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, orang ramai khususnya para pemandu dan pengguna jalan raya di negara ini diingatkan agar lebih berhati-hati dan mempertingkatkan kewaspadaan semasa memandu kenderaan.

Orang ramai dinasihatkan untuk bekerjasama dalam membantu Pasukan Polis Diraja Brunei untuk sentiasa mengamalkan sikap ingat-mengingati sesama sendiri dan orang lain untuk sentiasa mematuhi segala Undang-undang dan Peraturan Lalu Lintas Negara Brunei Darussalam.

Peringatan dan nasihat ini dibuat oleh Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, Supt Kanan Haji Awang Mohd Hassan bin Pehin Penyurat Haji Awang Ahmad semasa sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei, pagi tadi.

Sementara itu, dalam keadaan cuaca yang kurang mengizinkan terutama hujan lebat, beliau turut menyarankan orang ramai supaya akan memandu dengan lebih berhati-hati serta berwaspada dan mematuhi peraturan lalu lintas yang dikuatkuasakan bagi memastikan kemalangan dapat dielakkan.

Beliau menekankan supaya lampu kereta dinyalakan semasa memandu dan sentiasa berwaspada terhadap keadaan jalan di hadapan, sentiasa menjaga jarak kenderaan di hadapan dengan kenderaan sendiri, tidak membenarkan mereka yang di bawah umur untuk memandu kenderaan, merancang destinasi perjalanan dengan teratur dan tidak tergesa-gesa serta mematuhi segala arahan dan berwaspada pada amaran papan tanda keselamatan di jalan raya.

(kiri) Supt Kanan Haji Awang Mohd Hassan dan Supt Kanan Pengiran Haji Muhammad menyarankan pengutamaan keselamatan dalam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri ini nanti.
(kiri) Supt Kanan Haji Awang Mohd Hassan dan Supt Kanan Pengiran Haji Muhammad menyarankan pengutamaan keselamatan dalam menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri ini nanti.

“Apabila memandu ke destinasi yang dituju, pastikan pemandu dan penumpang akan menggunakan tali pinggang keselamatan. Penggunaan telefon bimbit adalah ditegah semasa memandu dan sentiasa bertolak ansur dengan pengguna jalan raya yang lain”.

Menurut beliau lagi, Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas akan menjalankan operasi dan rondaan dari semasa ke semasa terutama semasa perayaan nanti.

“Beberapa bentuk operasi bersama agensi-agensi penguatkuasaan di daerah-daerah di negara ini telah pun dirancang dan akan dijalankan pada siang dan malam di minggu terakhir bulan Ramadan dan akan diteruskan menjelang tibanya Sambutan Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya.

Dalam sidang media itu, Pemangku Pengarah Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei, Supt Kanan Pengiran Haji Muhammad bin Pengiran Haji Metali pula telah menyentuh mengenai langkah-langkah keselamatan semasa meninggalkan rumah ketika keluar berhari raya.

Ini, tekan beliau, bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku seperti kecurian dan kebakaran dan meningkatkan lagi langkah-langkah keselamatan terutama sekali semasa hendak meninggalkan rumah.

“Pagar, pintu dan jendela rumah hendaklah sentiasa dipastikan tertutup dan berkunci dengan kunci yang kukuh. Jangan membiarkan barang-barang berharga ditinggalkan di luar kawasan rumah yang boleh menjadi daya tarikan kepada penjenayah”.

Beliau menyarankan supaya segala wang, barang-barang kemas dan barang-barang bernilai hendaklah disimpan di tempat-tempat yang difikirkan selamat dan tidak mudah diketahui.

“Lampu di luar rumah seboleh-bolehnya hendaklah dinyalakan pada waktu malam terutama sekali di tempat-tempat yang senang dilihat”.

Semasa meninggalkan rumah dalam jangka masa yang panjang, beliau menyarankan supaya memastikan keadaan rumah selamat dan maklumkan kepada jiran-jiran terdekat untuk membantu memantau keadaan rumah tersebut dan maklumkan juga kepada ketua kampung, serta balai-balai dan pos polis yang berdekatan.

“Balai-balai polis atau pos polis yang berdekatan hendaklah dimaklumkan tentang tarikh pemergian bagi bertujuan pemantauan dan rondaan semasa rumah tersebut ditinggalkan. Penghulu, ketua kampung dan pengawasan kejiranan di setiap kampung berkenaan hendaklah dimaklumkan bagi sama-sama mematai dan mengelakkan kejadian pecah rumah berlaku di rumah yang tidak berpenghuni”.

Selain itu, ibu bapa hendaklah memantau serta memastikan anak-anak mereka sentiasa dalam pengawasan semasa keluar berhari raya, sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka dan jangan membiarkan mereka balik lewat malam serta memastikan mereka tidak berkumpul di kawasan-kawasan awam atau lepak sepanjang malam serta terlibat dengan aktiviti jenayah dan aktiviti sosial yang tidak sihat.

Tambah beliau lagi, aktiviti kanak-kanak hendaklah sentiasa diambil perhatian yang tegas dan diikuti dari semasa ke semasa terutama bagi mereka yang selalu melayari Internet kerana dikhuatiri akan melayari laman-laman sesawang yang berunsur negatif yang akan melibatkan mereka kepada aktiviti kurang sihat dan masalah sosial.

ARTIKEL YANG SAMA