Tingkatkan kewaspadaan musim cuti sekolah

Tingkatkan kewaspadaan musim cuti sekolah

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mac – Bersempena dengan Musim Cuti Persekolahan Pertama Tahun 2016 yang akan bermula pada 18 Mac hingga 3 April, orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang bersesuaian semasa musim tersebut, terutama sekali semasa hendak meninggalkan rumah.

Pasukan Polis Diraja Brunei dalam satu kenyataan hari ini berkata, balai-balai polis atau pos-pos polis yang berdekatan hendaklah dimaklumkan tentang tarikh pemergian bagi bertujuan pemantauan dan rondaan semasa rumah tersebut ditinggalkan.

“Penghulu dan ketua kampung di kampung berkenaan hendaklah dimaklumkan bagi sama-sama mematai dan mengelakkan kejadian pecah rumah berlaku di rumah yang tidak berpenghuni.

“Pagar, pintu dan jendela rumah hendaklah sentiasa dipastikan tertutup dan berkunci dengan kunci yang kukuh. Jangan membiarkan barang-barang berharga ditinggalkan di luar kawasan rumah yang boleh menjadi daya tarikan kepada penjenayah. Segala wang, barang-barang kemas dan barang-barang bernilai hendaklah disimpan di tempat-tempat yang difikirkan selamat dan tidak mudah diketahui.”

Menurut kenyataan itu lagi, mereka yang berhasrat hendak keluar negara adalah dinasihatikan supaya memaklumkan kepada keluarga terdekat atau jiran yang berhampiran untuk memata-matai rumah dan sekitar kawasan luar rumah.

Lampu di luar rumah seboleh-bolehnya hendaklah dinyalakan pada waktu malam terutama sekali di tempat-tempat yang senang dilihat.

Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak dinasihatkan supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak mereka dan jangan membiarkan anak-anak mereka balik lewat malam dan memastikan mereka tidak berkumpul di kawasan-kawasan awam atau lepak sepanjang malam serta terlibat dengan aktiviti jenayah dan aktiviti sosial yang tidak sihat.

Aktiviti kanak-kanak hendaklah sentiasa diambil perhatian yang tegas dan diikuti dari semasa ke semasa terutama bagi mereka yang selalu melayari Internet kerana dikhuatiri akan melayari laman-laman sesawang yang berunsur negatif yang akan melibatkan mereka kepada aktiviti kurang sihat dan masalah sosial.

Jika terdapat apa-apa juga perkara yang dilihat mencurigakan, orang ramai diseru untuk memaklumkan dengan segera kepada pihak polis atau pihak-pihak berkenaan seperti penghulu atau ketua kampung di mana tindakan seterusnya dapat ditangani oleh pihak berkenaan.

Semasa meninggalkan kereta untuk ke kedai atau meninggalkan kereta untuk seketika hendaklah memastikan enjin kereta dimatikan dan dikunci bagi mengelakkan kereta dicuri semasa meninggalkan kereta tersebut.

Pasukan Polis Diraja Brunei menggesa kepada orang ramai supaya akan melaporkan dengan segera kepada talian kecemasan 993 atau menghubungi balai-balai polis yang berdekatan. Maklumat yang diberikan akan membantu pihak polis dalam menangani jenayah yang mungkin akan berlaku terhadap keluarga mereka, jiran dan orang lain.