Tingkatkan kreativiti melalui seni lukisan, mewarna

Tingkatkan kreativiti melalui seni lukisan, mewarna

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Julai – Dengan tujuan untuk memberi peluang kepada murid-murid untuk mencurahkan idea dan meningkatkan kreativiti melalui seni lukisan dan mewarna, Jabatan Pendidikan Kokurikulum Kementerian Pendidikan melalui Unit Akli telah mengadakan Pertandingan Mewarna, Melukis dan Diari Bergambar Sekolah-Sekolah Rendah Senegara Tahun 2016.

Sehubungan itu, majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah diadakan hari ini, yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Tingkat 3, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Jabatan Pendidikan Ko-kurikulum, Haji Azis bin Haji Nayan yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah, sijil dan cenderamata kepada para pemenang.

Pengerusi Majlis, Pemangku Penolong Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Hajah Hajidah binti Haji Abdul Wahab dalam ucapannya di awal majlis berkata, hampir 900 penyertaan daripada 74 buah sekolah rendah kerajaan, sewasta dan sekolah Arab di keempat-empat daerah telah diterima bagi pertandingan berkenaan.

Haji Azis menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.
Haji Azis menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.

Bagaimanapun, daripada jumlah berkenaan hanya 10 murid lelaki dan 10 murid perempuan bagi setiap peringkat telah dipilih sebagai pemenang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pertandingan ini dibukakan kepada murid-murid Tahun 1 hingga 6 dan dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu peraduan mewarna murid Tahun 1 dan 2; peraduan menyambung lukisan dan mewarna bagi murid Tahun 3 dan 4; serta peraduan melukis diari bergambar bagi murid Tahun 5 dan 6.

Setiap peringkat mempunyai dua kategori iaitu kategori lelaki dan perempuan, dengan setiap murid hanya dibenarkan untuk menghantar satu penyertaan sahaja. Pertandingan antara lain juga bertujuan mendidik dan mendorong para pelajar untuk menghasilkan karya lukisan yang dilahirkan daripada fikiran yang terbuka dan positif di samping menyerlahkan kemampuan dan bakat para pelajar dalam bidang ini.

ARTIKEL YANG SAMA