Tingkatkan kualiti, jaga disiplin

Oleh Salawati Haji Yahya & Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mac – Mesyuarat Pengurus-pengurus Pasukan Lumba Perahu Tradisional Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Kali Ke-3 berlangsung hari ini di Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Di mesyuarat itu, Yang Dipertua Persatuan Lumba Perahu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Haji Haris bin Haji Ibrahim, mengingatkan kepada semua peserta perlumbaan supaya menjaga disiplin diri dan mematuhi segala peraturan perlumbaan.

“Di samping itu, pengurus pasukan juga perlu tegas jika terdapat sebarang penyelewengan dalam perlumbaan kerana kita mahukan menghasilkan kualiti penganjuran terbaik,” tambahnya.

Mesyuarat itu juga menerangkan mengenai peraturan teknikal perlumbaan yang disampaikan oleh Pegawai Teknikal Perlumbaan, Haji Yahya bin Haji Kassim yang mana dalam penerangan beliau antara lain menyentuh mengenai syarat dan peraturan kejohanan dan masa berlepas bagi setiap acara perlumbaan.

Mesyuarat Pengurus-pengurus Lumba Perahu Tradisioanl SKBD yang diadakan Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah hari ini.
Mesyuarat Pengurus-pengurus Lumba Perahu Tradisioanl SKBD yang diadakan Dewan Kuliah Stadium Negara Hassanal Bolkiah hari ini.

SKBD ini merupakan satu projek Jabatan Belia dan Sukan bagi asas ke arah memenuhi kehendak dasar sukan negara melalui kaedah sukan untuk masyarakat dan kecemerlangan sukan.

Di samping itu, melalui acara lumba perahu ini juga ia sebagai mekanisme bagi mengenal pasti dan mencari bakat yang berpotensi untuk diberikan bimbingan serta latihan secara bersistematik untuk membolehkan mereka diketengahkan bagi mewakili negara di peringkat serantau dan antarabangsa.

Dengan adanya kegiatan lumba perahu ini juga, ia diharap dapat menjadikan SKBD tahun ini sebagai salah satu usaha melahirkan masyarakat yang sihat, cergas, baik dari segi fizikal dna mental.

Kejohanan Lumba Perahu ini akan diadakan pada 26 Mac 2017 di Kompleks Sukan Air Serasi, Muara bermula pukul lapan pagi.