Tingkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat – Jailani

Tingkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat – Jailani

KUCHING, 27 Mei – Kualiti perkhidmatan warga kerja Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) perlu dipertingkat secara berkesan bagi memastikan ia berupaya menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Timbalan Menteri Datuk Jailani Johari berkata sebagai penjawat awam, kualiti perkhidmatan, sentiasa menjadi fokus utama kepada masyarakat.

“Orang awam terdedah dengan maklumat melalui media rasmi atau media sosial. Mereka mengharapkan kualiti perkhidmatan awam memenuhi kehendak mereka.

“Mereka mengharapkan karenah birokrasi dapat dikurangkan, setiap masalah berbangkit dapat diselesaikan dengan cepat dan tepat.

“Sehubungan itu kualiti perkhidmatan pegawai di KKMM perlu dipertingkat untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Datuk Jailani Johari (kanan) menyampaikan hadiah sijil simpanan Premium BSN bernilai RM1,000 kepada wartawan BERNAMA Sarawak Noor Bakhtiar Ahmad pada majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 dan Jasamu Dikenang 2016 peringkat Sarawak Khamis lalu. – Bernama

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Majlis Jasamu Dikenang KKMM Peringkat Negeri Sarawak di sini Khamis malam.

Seramai 99 warga kerja KKMM yang bertugas di pelbagai agensi dan jabatan menerima APC 2015 Peringkat Negeri Sarawak.

Pada majlis sama, seramai 44 pesara dan bakal pesara tahun 2016 yang berkhidmat di Negeri Sarawak turut diraikan. – Bernama