Tingkatkan martabat Bahasa Melayu

Tingkatkan martabat Bahasa Melayu

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Dengan usaha semua pihak untuk meningkatkan dan memartabatkan lagi penggunaan Bahasa Melayu yang betul, tidak mustahil bagi Bahasa Melayu itu menjadi nombor satu dari segi jumlah penduduk dunia yang bertutur menggunakan Bahasa Melayu di dunia.

Harapan itu disuarakan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hajah Sariani binti Haji Ishak semasa Lawatan Sambil Belajar Peserta Kursus Bengkel Penulisan Berkesan (Bahasa Melayu) di Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini.

Beliau berkata bahawa mengikut statistik, Bahasa Melayu berada di kedudukan keempat dari segi jumlah penduduk dunia yang bertutur menggunakan bahasa berkenaan iaitu selepas Bahasa Mandarin, Inggeris dan Bahasa Hindu/ Urdu.

Ujarnya, DBP diberikan mandat untuk memperkasakan Bahasa Melayu tetapi, peranan itu bukannya eksklusif bagi DBP sahaja untuk dilaksanakan.

Peserta-peserta kursus yang mengadakan lawatan sambil belajar ke Dewan Bahasa dan Pustaka, kelmarin.
Peserta-peserta kursus yang mengadakan lawatan sambil belajar ke Dewan Bahasa dan Pustaka, kelmarin.

Semua orang mampu memainkan peranan dalam sama-sama memastikan penggunaan Bahasa Melayu yang betul dalam kalangan masyarakat dan mereka boleh menegur atau membetulkan mana-mana penggunaan Bahasa Melayu yang kurang tepat. Beliau menambah bahawa mereka juga boleh melaporkan kepada pihak DBP untuk mengambil tindakan yang sesuai bagi menangani penggunaan Bahasa Melayu yang kurang tepat itu.

Rombongan lawatan sambil belajar seramai 30 orang itu diketuai oleh pengendali kursus, Awang Muhammad Azmi bin Haji Zaini di mana lawatan dihasratkan untuk memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai kepentingan dalam memartabatkan dan memperkasakan Bahasa Melayu.

Di samping itu, lawatan sambil belajar itu juga diharap dapat memberikan pendedahan kepada para peserta kursus mengenai buku-buku yang diterbitkan oleh DBP serta menimba ilmu pengetahuan mengenai cara-cara atau langkah penerbitan buku.