Tingkatkan minat belia pada STEM

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Sept – Minggu Sains dan Teknologi 2017 yang menyaksikan seramai 97 orang peserta dari 12 buah sekolah bertanding dalam Cabaran STEM dan Cyber Battle telah berakhir hari ini dengan Majlis Penyampaian Hadiah dan Majlis Penandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Petrokon Utama Sdn Bhd (PUSB).

Hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, UTB itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para jemputan khas.

Penolong Naib Canselor (Industri dan Perkhidmatan), UTB, Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib dalam ucapannya menjelaskan bahawa tema bagi Minggu Sains dan Teknologi tahun ini adalah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Beliau menyatakan bahawa terdapat kekurangan pekerja dalam bidang STEM di seluruh dunia dan Brunei sering kali berusaha untuk meningkatkan lagi minat para belia kepada bidang berkenaan dan UTB kini bekerjasama untuk mempromosikan STEM dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah.

Penandatanganan MoU antara UTB dan PUSB yang disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan hadiah pemenang The Cyber Battle: Capture the Flag 2017 kepada Alert One.
Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar memenangi cabaran The Maze Runner Challenge.

Pertandingan Cabaran STEM berkenaan berkonsepkan penggunaan robot dalam sesebuah permainan yang menilai memori dan kebolehan mereka untuk bekerjasama dalam satu kumpulan.

Minggu Sains dan Teknologi 2017 mempertandingkan empat pertandingan iaitu The Maze Runner Challenge, Foosball Challenge, Nothing-But-Net Challenge dan The Cyber Battle: Capture the Flag 2017.

Juara The Maze Runner Challenge telah disandang oleh pasukan dari Sekolah Menengah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar diikuti pasukan dari Sekolah Menengah Rimba II di tempat kedua dan pasukan dari Sekolah Menengah RIPAS di tempat ketiga.

Muncul juara bagi Foosball Challenge ialah pasukan dari Sekolah Menengah Chung Hua manakala itu, pasukan dari Sekolah Menengah Katok dan Sekolah Menengah Perdana Wazir masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu, juara bagi Nothing-But-Net Challenge pula ialah pasukan dari Sekolah Menengah Chung Hua diikuti tempat kedua, pasukan Sekolah Menengah Saiyidina Ali dan tempat ketiga dimenangi pasukan dari Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali.

Pemenang bagi The Cyber Battle: Capture the Flag 2017 pula ialah Alert One, tempat kedua NZN dan HUROOM di tempat ketiga.

Majlis turut menyaksikan mendengarkan taklimat mengenai pertandingan Cyber Battle yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS), Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis dan disusuli dengan tayangan video klip Minggu Sains dan Teknologi 2017.

Majlis kemudian diteruskan lagi dengan penandatanganan MoU antara UTB dan PUSB yang disaksikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.

Menandatangani bagi pihak UTB ialah Naib Canselor UTB, Profesor Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dengan disaksikan oleh Pendaftar dan Setiausaha UTB, Jennifer Hiew-Lim dan PUSB pula diwakili oleh pengerusi dan pengarah urusannya, Dato Paduka Haji Nordin bin Mohd Yussof dengan disaksikan oleh pengurus besar dan pengarahnya, Mohd Saney bin Haji Abdul Halim.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, MoU berkenaan adalah bagi memperbaharui kerjasama yang termasuk penajaan projek-projek penyelidikan dan pembangunan; penyeliaan bersama projek-projek pelajar; berkongsi pengetahuan dan khidmat konsultasi dari segi kepakaran, maklumat, ujian dan kerja-kerja makmal; kerjasama dalam jerayawara dan pameran pendidikan dalam mempromosikan kerjasama dan pendidikan; untuk mendapatkan perspektif perindustrian dalam pembangunan struktur program kejuruteraan dan penempatan kerja perindustrian bagi pelajar-pelajar UTB dalam bidang-bidang kejuruteraan.