Tingkatkan pengetahuan ke United Kingdom

Tingkatkan pengetahuan ke United Kingdom

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Seramai 14 orang penuntut termasuk pegawai pendidikan dan guru pengiring dari Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) telah berlepas ke United Kingdom (UK) bagi program lawatan sambil belajar Kesusasteraan dan Kebudayaan Inggeris STPRI 2016.

Semasa ditemui di ruang berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa, hari ini, Ketua Jabatan Bahasa Inggeris, Hajah Seri Ainey binti Haji Shahri menjelaskan, lawatan sambil belajar sehingga 30 Mac ini antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada penuntut mengenai cara hidup berdikari selain berpeluang mengetahui tempat bersejarah di negara itu.

“Sepanjang berada di sana, rombongan pelajar akan berkunjung ke The Globe Shakespeare Exhibition Tour & Workshops on Elizabethan Dressing, Printing Press yang ditaja oleh pihak sekolah,” tambahnya.

Selain itu, rombongan juga akan berada di Volendum, Holland dan di Stratford-upon-Avon yang dikenali sebagai Pekan Shakespeare di samping mengadakan lawatan ke Bath iaitu tempat penulis Inggeris yang diminati Jane Austen.

Gambar ramai rombongan penuntut dan guru STPRI ke United Kingdom.
Gambar ramai rombongan penuntut dan guru STPRI ke United Kingdom.
Dayang Nur Nik’matul Dzukhaireen.
Dayang Nur Nik’matul Dzukhaireen.

Sementara itu, dalam temu bual bersama media, Dayang Nur Nik’matul Dzukhaireen binti Haji Mohd Shamsul Khaireen melahirkan perasaan gembira kerana berpeluang menyertai program lawatan sambil belajar ini.

Dengan menyertai program ini, pelajar Tahun 10X itu menyatakan harapan agar ia dapat membantu menambah ilmu pengetahuan terutama dalam Bahasa Inggeris.

Manakala itu, Dayang Nurul Razanah binti Haji Razali, pelajar Tahun 11, pula menjelaskan bahawa beliau telah merancang mengikuti program ini sejak Tahun 9 di sekolah tersebut dan dengan peluang yang ada ini, ia akan dapat menambah ilmu pengetahuan seterusnya membantu dalam pelajaran Bahasa Inggeris.

Juga hadir bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan berkenaan ialah Pengetua STPRI, Hajah Susilawati binti DP Haji Muammad serta ahli keluarga penuntut berkenaan.